PUTRAJAYA: Tiada sebarang sumber daripada nas tertentu sebagai dalil al-Quran atau hadis Rasulullah SAW yang menyentuh jelas mengenai larangan makan ikan dengan minum susu.
Perkara itu ditegaskan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menerusi slot Al-Kafi li al-Fatawi mengenai persoalan adakah terdapat larangan memakan ikan bersama-sama susu.
“Namun ayat sebegini kelaziman sering digunakan sebagai contoh oleh pakar tatabahasa Arab dalam kitab mereka itu untuk menggambarkan perbezaan bacaan, baris dan makna,” katanya.
Meskipun ada petua yang menyatakan konon makan ikan dengan susu boleh menyebabkan penyakit kulit atau gout, tetapi ujar PMWP, ia sekadar pandangan peribadi ilmuwan tersebut.
Antaranya ialah Ibnu Masuwaih dan dinukilkan oleh Imam Ibnu Qayyum menerusi kitab Zad al-Ma’ad fi Hadyu Khair al-‘Ibad yang menganggap ia sebagai amalan yang diijtihad ulama.
Mereka berpendapat sesiapa dalam perutnya ada serentak susu dan ikan, maka akan ditimpa penyakit kusta, sopak dan gout serta usahlah menyalahkan orang lain melainkan diri sendiri.
Jelas PMWP lagi, persoalan berkaitan tegahan untuk makan ikan bersama-sama minum susu bagaimanapun tidak terdapat pun dalam ayat suci al-Quran atau hadis Nabi Muhammad SAW.
Sebaliknya, ayat larangan itu secara kebiasaan dijadikan misalan dan sering digunakan dalam kitab nahu Arab seperti Audih al-Masalik, Syarh Qatr al-Nada wa Bal sada dan Syarh Ibn Aqil.
Justeru, PMWP menyimpulkan bahawa tiada sebarang dalil daripada kalam Allah atau sabda Baginda SAW yang mengharamkan amalan memakan ikan dengan bersekali meminum susu.
Ia hanya petua ilmuwan tertentu dan jika seseorang berpotensi menghidap sesuatu penyakit, maka disarankan agar segera bertemu pakar perubatan untuk mendapatkan khidmat nasihat. – UTUSAN