"Dahulu duit banyak, tapi... tiada keberkatan" - Iwan Syahman - Utusan Malaysia

“Dahulu duit banyak, tapi… tiada keberkatan” – Iwan Syahman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Muzik dangdut mencapai kemuncaknya sekitar tahun 1990-an. Ketika itu, industri hiburan dimeriahkan dengan kemunculan penyanyi-penyanyi terkenal seperti Amelina, Mas Idayu, Sheeda, Haiza Hanafi, Tushee dan ramai lagi.

Namun, satu nama ini tidak boleh kita nafikan. Popular dan terlalu berjasa untuk industri lebih-lebih lagi kepada genre muzik itu.

Wan Syahman Wan Yunus atau Iwan terlalu besar namanya. Gelaran raja dangdut itu sememangnya dia yang punya.

Sehingga sekarang, kalau dilayangkan soalan, siapa raja dangdut Malaysia? Saya berani kata, nama Iwan yang akan masih disebut-sebut.

Lagu-lagu nyanyian Iwan sememangnya cukup berbekas. Senaraikanlah.

Yang Sedang-Sedang Saja, Fantasia Musim Cinta, Memori Daun Pisang, Yang Tersayang. Semua mendapat sambutan, jadi siulan dan dinyanyikan lagi sehingga sekarang.

Terbukti, betapa gemilangnya Iwan satu masa dahulu. Sampaikan karya seninya masih didendang orang.

Ketika kemuncak perjalanan seninya, Iwan menghilang. Saya tidak ingat bila. Tapi ada satu ketika, saya tidak dengar lagi tentang anak kelahiran Sumatera Utara, Indonesia ini .

Sehinggalah beberapa tahun lalu, figura ini saya saksikan semula. Di Youtube seingat saya. Tapi dalam sisi yang amat berbeza.

Berserban, berjanggut panjang. Dalam rakaman yang saya tonton, dia menyampaikan ilmu dan cerita di sebuah masjid tak silap saya. Hati saya bertanya ‘benarkah ini Iwan, si raja dangdut itu?

Mungkin rezeki terpijak. Allah aturkan pertemuan bersama penyanyi ini, ketika majlis perkahwinan anak perempuannya yang juga pelakon, Oktovia Manrose di ibu kota Disember lalu.

Walaupun agak sibuk melayan tetamu, Iwan tidak menghampakan wartawan apabila diajak berbual mesra. Banyak cerita.

“Sekarang saya banyak terlibat dengan kerja dakwah. Itu sepenuh masa. Menyambung kerja baginda Rasulullah SAW.

“Menyanyi juga aktif. Itu keperluan saya. Tapi semua lagu dakwah. Ada juga saya hasilkan lagu (dakwah) untuk penyanyi lain,” katanya yang menjawab tentang perkembangan sekarang.

Kata Iwan, dia tidak lagi berkeinginan menyanyi dan menghasilkan lagu tentang dunia dan perempuan. Baginya semua itu sudah ditinggalkan terlalu jauh.

Sekarang Iwan hanya ingin mengagungkan Tuhan dalam seni dan lagunya.

“Lagu-lagu saya sekarang bukan tentang perempuan. Alhamdulillah sejak berhijrah sembilan tahun lalu, saya banyak buat album nasyid. Ketengahkan hiburan dakwah.

“Saya pergi merata tempat. Termasuk Sabah dan Sarawak. Buat kerja dakwah. Alhamdulillah, saya bersyukur. Allah SWT beri saya peluang,” katanya lagi.

Apabila ditanya, tidakkah dia rindu, untuk kembali semula menghiburkan seperti dahulu, ketika namanya memuncak dan disegani, dalam jawapannya, dia mengaku. Kerinduan itu ada. Namun hatinya sudah terpaut untuk akhirat semata-mata.

“Sebenarnya, memang saya rindu. tapi itu keseronokan dunia. walaupun saya berkeinginan, Allah tak benarkan, tak izin.

“Dulu, susah saya lepaskan. Hidup masyhur dan bermewah-mewah. Alhamdulillah, ketika mengikuti program keluar 40 hari pertama bersama golongan soleh, Allah bagi saya kekuatan. Lepaskan semua.

“Tahun 2013, Allah permudahkan. Saya teruskan usaha mencari Tuhan. Empat bulan saya ke India, Bangladesh. Ikut berdakwah. Menyampaikan. Saya keluar ke negara jauh. Itu matlamat saya sekarang.

Nak ikut langkah para sahabat Rasulullah SAW,” katanya.

Iwan tidak lokek berkongsi cerita. Walaupun saya minta dia ceritakan tentang dunianya yang dahulu, penuh dengan kecintaan cita-cita dan dunia.

Kata Iwan, rezeki dan pendapatan sekarang jauh lebih berkat. Tidak putus. Tetap dengan cara menyanyi dan menghiburkan. Tetapi, untuk Allah semata-mata.

“Alhamdulillah, pendapatan saya sebagai penyanyi lagu-lagu dakwah tidak putus. Setiap tahun saya terima bayaran royalti. Cukuplah. Saya bukan mahukan kekayaan lagi.

“Dahulu duit banyak, berjuta. Tetapi tiada keberkatan. Sebab apa. Subahat. Lagu saya, lagu subahat. Tetapi waktu itu saya tak tahu. Bila kita bercerita tentang makhluk. Itu subahat.

“Yang sebenarnya, Allah SWT suka kita ceritakan kebesarannya. Lailahaillallah. Jadi sekarang, perubahan itu ketara. Hati senang dan menjadi lebih lapang. Saya sedar sekarang, rezeki datang dari Allah SWT. Dahulu, saya ingat rezeki saya yang cari,” kongsinya.

PENGAKHIRAN CARA RASULULLAH
Saya senang berbicara dengan ikon tersohor ini. Tutur bicaranya penuh hikmah dan pesanan. Hati jadi lapang dan fikiran lebih terbuka.

Iwan berkata, tiada apa lagi yang diinginkan dalam hidup ini. Selain mengharapkan riwayat hidup dalam pengakhiran husnul khatimah.

“Itu matlamat saya. Menuju pengakhiran hidup dengan berdakwah dan cara Rasulullah SAW.

“Dakwah yang sebenarnya adalah yang dilakukan oleh baginda Rasulullah SAW dan para sahabat.

“Alhamdulillah , selama lapan tahun. saya pergi merata tempat, berdakwah dan menyampaikan. Maghribi, Turki. Di mana sahaja,” jelasnya.

Iwan memberitahu dia bersyukur. Allah membuka jalan untuk dia membina sebuah madrasah. Lebih istimewa, dibina di tanah kelahirannya di Indonesia.

“Dan tentunya Allah telah beri saya hadiah istimewa, iaitu peluang untuk mendirikan madrasah tahfiz di Kisaran, Sumatera Utara. Tempat kelahiran saya. Sudah tujuh tahun.

“Madrasah tersebut dinamakan sebagai Taman Tahfiz Darul Islah. Menempatkan 400 murid kesemuanya. Semoga mereka ini menjadi orang yang berdakwah satu hari nanti,” katanya lagi.

Disoal tentang istiqomah, Iwan berkongsi pengalaman sendiri. Katanya, dalam berdakwah seiring kerja untuk melakukannya. Bagaimana?

“Adalah apabila kita buat kerja (dakwah). Macam saya, hubungan dengan markas Tabligh di Sri Petaling kena sentiasa diteruskan.

“Begitu juga hubungan dengan saudara Islam, golongan Tabligh di India dan halaqah-halaqah yang lain. Jika semua ini ada. Insya-Allah. Mudah untuk istiqamah,” katanya.

KEBAHAGIAAN BERUMAH TANGGA
Umum tahu perjalanan hidup seorang Iwan itu tidak mudah. Dalam hal rumah tangga, Iwan berdepan ujian yang cukup menduga.

Iwan sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Rosnah Mohd. Noor sekitar 1987 sebelum menikahi Wan Rafidah Wan Abu Bakar pada 1998.

Iwan kini bahagia melayari bahtera perkahwinan ketiganya bersama teman sekampungnya di Sumatera Utara, Avie Suriyanti.

“Saya sudah berkahwin semula. Dengan orang indonesia. Kami sudah bersama hampir 12 tahun.

“Alhamdulillah, kami dikurniakan enam orang anak, dua lelaki, selainnya perempuan,” maklumnya.

Iwan juga sebelum ini, sekitar 1996 pernah menjalin hubungan cinta dengan penyanyi kesayangan ramai, Amelina selama tiga tahun.

Namun hubungan mereka terlerai secara kontroversi pada 1998. Saya bertanya, adakah dia masih bersahabat baik dengan Amelina?

“Saya pernah dihubungi Amelina, satu ketika dahulu. Dia minta saya hasilkan lagu untuknya.

“Tetapi saya beritahu saya sudah tidak lagi menghasilkan lagu tentang perempuan. Kalau dahulu saya tak tahu. Jadi saya buat.

“Saya doakan. Moga-moga kebaikan akan datang untuk dia, Insya-Allah,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN