'Chong' tawar gaji operator judi sehingga RM3,000 sebulan - Utusan Malaysia

‘Chong’ tawar gaji operator judi sehingga RM3,000 sebulan

WANITA yang ditahan dalam operasi itu dekat sebuah pusat beli belah yang sebahagiannya dijadikan sebagai tempat operasi judi dalam talian di Klang, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Taktik satu sindiket menyewa pejabat sebuah pusat beli-belah di sini, sebagai pusat panggilan perjudian dalam talian sejak tiga bulan lalu terbongkar apabila digempur polis semalam.

Sindiket judi online didalangi warga tempatan itu dikesan menyewa dua premis untuk mempromosi dan menguruskan transaksi kegiatan haram tersebut. Selain dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV), lif pejabat itu hanya boleh dinaiki individu yang mempunyai kad akses khas.

Kelicikan sindiket itu bagaimanapun gagal bertahan lama apabila dihidu Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) dan Operasi Khas (D8) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor yang menyerbu premis itu, kira-kira pukul 3.30 petang.

Pegawai D7 negeri, Asisten Superintendan Zulaimi Zuber berkata, operasi hasil risikan dan maklumat itu disertai sepasukan 18 pegawai dan anggota termasuk D7 Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara.

Katanya, serbuan itu melibatkan dua premis masing-masing di tingkat lima dan tujuh pusat beli belah tersebut.

“Ketika serbuan, terdapat lima lelaki dan empat wanita berusia 20 hingga 40-an sedang bertugas sebagai operator judi sindiket berkenaan. Selain penahanan sembilan suspek termasuk seorang wanita Indonesia itu, polis antaranya merampas wang tunai RM100,000, 26 unit telefon bimbit dan 15 komputer riba,” katanya yang mengetuai operasi itu.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati dua premis itu dilengkapi CCTV dan satu daripadanya turut mempunyai katil untuk berehat atau tidur.

Jelas Zulaimi, siasatan awal sindiket itu diketuai lelaki tempatan bernama ‘Chong’ yang menawarkan gaji operator judi sehingga RM3,000 sebulan.

“Sindiket turut menggunakan laman web ‘IN 777’ untuk menganjur, mengurus dan mempromosikan judi atas talian seperti Kissme, Mega888 dan Pussy888. Semua transaksi dibuat secara atas talian dan beberapa akaun disyaki akaun keldai digunakan sindiket yang menyasarkan pelanggan tempatan itu,” katanya.

 “Sindiket itu mengunakan aplikasi Facebook dan TikTok bagi mempromosi perjudian tersebut. Siasatan turut mendapati sindiket berkenaan memperoleh kutipan antara RM100,000 RM500,000 sebulan,” katanya.

Tambah Zulaimi, kes disiasat mengikut Sek 4 (1)(a),(c) dan (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Polis sedang mengesan suspek utama (Chong) dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN