KEMAMAN: Seorang buruh ladang maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh kenderaan pacuan empat roda, di Kilometer 154, Jalan Jerangau-Jabor berhampiran sebuah stesen minyak di Cheneh, hari ini.
Dalam kejadian pukul 6.55 pagi itu, Nik Mohamad Suhardi Nek Coob, 23, dari Felda Cerul 1 meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, mangsa yang menunggang motosikal Honda EX5 difahamkan dalam perjalanan dari Cerul ke arah Cheneh.
“Bagaimanapun, ketika di simpang tiga, pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dari arah bertentangan tiba-tiba memasuki laluan sebelah kanan menghala ke Jalan Mak Lagam.
“Akibat terlalu dekat, pemandu Toyota Hilux melanggar mangsa yang berada di lorong kiri hingga mengakibatkan mangsa tercampak,” katanya kepada pemberita.
Hanyan berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.