PETALING JAYA : Satu siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan (USJKT) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Bukit Aman berhubung kematian Orang Kena Tuduh (OKT) di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, Perak, hari ini.
Pengarah JIPS, Datuk Azri Ahmad berkata, polis menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira pukul 11 pagi ini.
Kata beliau, OKT itu membabitkan seorang lelaki berbangsa Melayu berusia 63 tahun dan adalah tahanan tumpang dari Penjara Taiping yang dituduh pada 18 April tahun lalu.
“OKT berkenaan dituduh di bawah Seksyen 379A dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
“OKT berkenaan ditempatkan di lokap IPD berkenaan selepas sebutan kes pertama pada 11 Januari lalu sementara menanti sebutan seterusnya dijangka esok,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE