Bot tunda, tongkang berlabuh secara haram ditahan 

Bot tunda, tongkang berlabuh secara haram ditahan 

MARITIM Malaysia Pulau Pinang menahan sebuah bot tunda Nautillus dan 'barge' atau tongkang Singa Besar yang disyaki berlabuh tanpa kebenaran pada jarak 0.5 batu nautika barat Penaga awal pagi semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot tunda Nautillus dan ‘barge’ atau tongkang Singa Besar yang disyaki berlabuh tanpa kebenaran, awal pagi semalam. 

Pengarah Maritim Malaysia negeri, Kapten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot dan ‘barge’ itu ditahan semasa rondaan rutin kira-kira pukul 10.15 pagi pada jarak 0.5 batu nautika barat Penaga, dekat sini. 

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kesemua kru yang terlibat gagal mengemukakan dokumen kebenaran berlabuh daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia ketika diminta. 

“Barge’ bermuatan jentera dan bot tunda itu dikendalikan lapan kru termasuk nakhoda yang terdiri daripada enam warga Indonesia serta dua warga tempatan berusia antara 21 hingga 48 tahun itu. 

“Mereka bagaimanapun memiliki dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang sah. Nakhoda bersama seorang ketua jurutera kemudian dibawa ke ibu pejabat Maritim Malaysia negeri untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Menurut Abd. Razak, kes disiasat mengikut Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali. 

Tambah beliau, Maritim Malaysia ingin menegaskan kepada semua pemilik kapal supaya sentiasa memastikan segala prosedur dan peraturan dipatuhi mengikut undang-undang laut yang sedia ada. 

“Sebarang aduan berkaitan boleh dibuat dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau menerusi talian kecemasan MERS 999,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN