PETALING JAYA: Perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) jelas mengatakan sekiranya mana-mana ahli menyertai parti lain, maka keahlian mereka automatik tergugur dan peraturan itu konsisten serta terpakai kepada semua.
Justeru Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, parti itu tidak terkesan dengan penubuhan dan senarai ahli jawatankuasa Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang diumumkan kelmarin.
Sebaliknya parti itu akan terus bergerak dengan agenda integriti, tadbir urus yang baik, anti rasuah dan anti salah guna kuasa, demi memberikan manfaat kepada keseluruhan rakyat tanpa mengira kaum, bangsa atau agama.
“Saya telah sebutkan sebelum ini bahawa perjuangan Bersatu tidak terkesan dengan perkembangan ini. Bersatu akan terus bergerak dengan agenda integriti, tadbir urus yang baik, anti rasuah dan anti salah guna kuasa, demi memberikan manfaat kepada keseluruhan rakyat tanpa mengira kaum, bangsa atau agama.
“Bersatu juga semakin berkembang, dengan bilangan keahlian yang meningkat setiap bulan,” katanya. Dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook hari ini.
Ahli Parlimen Julau, Larry Soon @ Sng diumumkan sebagai Presiden PBM selepas Mesyuarat Khas Persidangan Agung parti tersebut sebelum ini.
Selain itu, 30 ahli jawatankuasa baharu parti itu turut dilantik termasuk bekas Exco kerajaan Selangor, Haniza Mohamed Talha dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Wong Judat sebagai Timbalan Presiden.
Wan Saiful berkata, Perlembagaan Bersatu jelas mengatakan sekiranya mana-mana ahli Bersatu menyertai parti lain, maka keahlian mereka secara automatik tergugur.
“Peraturan ini konsisten dan terpakai kepada semua,” katanya.