KULAI: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor bakal mengadakan mesyuarat dalam waktu terdekat ini ekoran desas-desus kemungkinan akan berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ketua Bersatu Bahagian Kulai, Tosrin Jarvanthi berkata, mesyuarat yang dijangka diadakan dalam tempoh beberapa hari ini bakal dipengerusikan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Tarikh sebenar mesyuarat itu masih belum dapat dipastikan tetapi difahamkan ia akan diadakan dalam waktu terdekat ini.
“Lokasi mesyuarat dijangka di Ibu Pejabat Bersatu Johor iaitu di Danga Bay,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis kembali ke sekolah anjuran Yayasan Sejahtera Kulai di Dewan Raya Putra, di sini hari ini.
Namun begitu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri mahu semua pengerusi jawatankuasa memberikan tumpuan kepada portfolio masing-masing.
“Saya tiada masa untuk melayan cakap-cakap kosong atau sebarang spekulasi (berhubung PRN) kerana sehingga kini tiada maklumat diberikan Menteri Besar. Sehingga kini, perkara itu hanyalah spekulasi dan tiada apa-apa arahan dikeluarkan sama ada oleh Bersatu mahupun Perikatan Nasional (PN).
“Oleh itu, marilah semua pihak terlibat sama-sama fokus kepada kerja masing-masing bagi memastikan kerajaan negeri sedia ada dapat beroperasi tanpa sebarang masalah,” jelasnya.
Baru-baru ini, desas-desus akan berlakunya PRN Johor semakin kuat kedengaran khususnya selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian meninggal dunia pada 21 Disember lalu.
Ekoran itu, kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad dilihat goyah kerana hanya mempunyai kelebihan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika ini.