SETIU: Minat bertani sejak kecil mendorong seorang bekas wartawan akhbar berbahasa Inggeris di negeri ini mengusahakan kolam memancing berkonsepkan dusun buah-buahan di Kerong, Pelong, di sini.
Rosli Zakaria, 63, berkata, idea itu tercetus bagi memberi kelainan sekali gus dapat meneruskan kesinambungan aktiviti pertanian yang digemarinya.
Katanya, perniagaan yang dikenali sebagai Kolam Riadah itu adalah yang pertama di daerah ini dan pemancing berpeluang menikmati buah-buahan di sekeliling kawasan tersebut secara percuma.
“Kolam ini mula dibuka pada 1 Januari tahun lalu dengan bayaran serendah RM5 untuk sejam dan pelanggan boleh makan apa sahaja buah-buahan di sini sambil memancing.
“Kita mempunyai lebih 30 tanaman termasuk pelbagai jenis jambu, lemon, limau, rambutan, durian belanda, pulasan dan duku,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.
Rosli berkata, kelebihan yang ditawarkan itu secara tidak langsung dapat menarik pemancing bersama keluarga untuk beriadah di kolam tersebut terutama pada musim buah.
Katanya, kolam memancing tersebut kini menempatkan sebanyak 22 spesies ikan termasuk patin, jelawat, tilapia, baung, kelah, ubi, lampam, haruan, puyu, kaloi dan sepat.
“Kebanyakan pelanggan datang dari daerah jiran termasuk Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu dengan rata-rata mereka teruja dengan konsep yang diketengahkan.
“Walaupun sebelum ini terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 tetapi saya berusaha bangkit semula dan merancang untuk membuka chalet di masa depan bagi memudahkan pemancing melakukan aktiviti itu termasuk pada waktu malam,” katanya. – UTUSAN ONLINE