Bauksit: Peneroka harap titik noktah kerajaan negeri

Bauksit: Peneroka harap titik noktah kerajaan negeri

SULONG Hasan mengenang nasibnya yang tidak mampu tanam semula sawit kerana kos terlalu tinggi sehingga mencecah RM150,000 di Felda Bukit Goh di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Peneroka di Felda Bukit Goh di sini mengharapkan ada sinar baharu buat mereka tahun ini selepas perlombongan bauksit dihentikan sejak 2016 akibat ‘serangan debu merah’ dan bunyi bising.

Ketika ini, kehidupan kira-kira 194 peneroka di tanah rancangan itu menderita hilang punca pendapatan sejak aktiviti tersebut dihentikan lima tahun lalu selain ada antaranya me­ngalami tekanan hidup.

Apa yang mereka inginkan adalah titik noktah daripada ke­rajaan negeri berhubung tanah peneroka yang terlibat bauksit di tanah rancangan tersebut.

Bercakap kepada Utusan Ma­­laysia, seorang peneroka di Felda itu, Sulong Hasan, 79, ber­­harap kerajaan membuka se­mula aktiviti perlombongan bauksit secepat mungkin.

“Jika kita cakap soal tekanan hidup, memang peneroka (yang terlibat perlombongan bauksit) mengalami tekanan hidup kera­na kami telah lima tahun tiada punca pendapatan.

“Hendak tanam semula sawit, kos­nya terla­lu tinggi sehingga mencecah RM150,000. Mana saya mampu kerana kami sudah lama tiada punca pendapatan,” katanya di sini semalam.

Perlombongan bauksit, bijih mineral yang mempunyai aluminium hidroksida di Kuantan, terutama di Felda Bukit Goh, Balok dan Gebeng dipercayai bermula sejak pertengahan tahun 2014.

Difahamkan, setelah kira-kira lima tahun dihentikan, ak­tiviti perlombongan bahan mineral itu akan dimulakan kembali di negeri ini berpandukan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat.

Pada Januari 2020, Menteri Besar, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail mengesahkan aktiviti perlombongan bauksit boleh dimulakan pada bila-bila masa.

Seorang lagi peneroka Felda Bukit Goh, Salim Mohd., 72, pula berkata, peneroka terlibat bauksit berharap ada khabar gembira tahun ini sekali gus menamatkan penderitaan dialami mereka.

“Bertambah pula dengan musibah Covid-19, memang ter­kesan sangat. Tidak tahu lagi kepada pihak mana kami ingin merayu nasib. Kami sekarang hanya bergantung ihsan kepada Menteri Besar Pahang untuk memberi kebenaran perlombongan bauksit dibuka semula.

“Diharapkan jangan ada unsur-unsur politik di sebalik kemelut ini. Kami hanya mampu meluahkan nasib di akhbar. Untuk kami berjumpa dengan Menteri Besar sendiri, mungkin sukar kerana kami tidak berke­upayaan dan juga tidak tahu protokolnya,” katanya.

“Berilah keceriaan dan kegembiraan kepada kami pada tahun baharu 2022 ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.