Banjir: RM2.5 juta kelengkapan SMK Taman Sri Muda rosak - Utusan Malaysia

Banjir: RM2.5 juta kelengkapan SMK Taman Sri Muda rosak

M. MAGENDRAN meneliti peralatan mengajar yang rosak akibat banjir pada dua minggu lalu di SMK Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor hari ini. UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Banjir yang melanda Taman Sri Muda, Seksyen 25 dua minggu lalu menyebabkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Sri Muda berhadapan kerosakan kelengkapan sehingga RM2.5 juta apabila pelbagai peralatan termasuk alat bantu mengajar tidak boleh digunakan lagi.

Pengetua sekolah berkenaan, Datuk M. Magendran berkata, jumlah tersebut diperoleh hasil pemeriksaan yang dibuat pegawai daripada bahagian pengurusan aset Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada minggu lalu.

“Pemeriksaan pihak saya dan mereka mendapati beberapa aset sekolah seperti komputer, komputer riba, almari, alat muzik dan lain-lain lagi telah rosak dan tidak boleh dipakai.

“Malah Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin ada buat lawatan di sini pada minggu lalu bagi melihat keadaan sekolah ini,” katanya ketika ditemui di SMK Taman Sri Muda.

Menurutnya, pihak kementerian masih membuat pemeriksaan kelengkapan di beberapa buah sekolah termasuk di Taman Sri Muda yang terjejas akibat bencana itu di seluruh negara sebelum membuat keputusan bagi menggantikan aset rosak di sekolahnya.

Bagaimanapun, Magendran menjelaskan, sekolahnya kini akan menggunakan dahulu kelengkapan yang masih selamat untuk sesi pembukaan sekolah yang dibuka pada 10 Januari ini.

“Boleh dikatakan lebih 90 peratus kerja pembersihan kawasan sekolah serta aset telah selesai dijalankan, justeru setakat ini kami boleh meneruskan persekolahan pada Isnin hadapan dan perkara itu sudah pun dimaklumkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Perdana.

“Walaupun banyak kelengkapan yang rosak seperti meja, buku, peralatan elektrik dan sebagainya, namun kita tak mahu menangguhkan persekolahan terutama takwim pembelajaran murid Tingkatan 5 kerana hanya tiga daripada 35 bilik darjah yang terjejas,” jelasnya.

Sementara itu, Magendran menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang membantu membersihkan sekolahnya hanya dalam tempoh seminggu.

Menurutnya, orang ramai boleh memberikan sumbangan wang kepada sekolahnya, dengan memasukkan wang ke akaun Public Bank Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Taman Sri Muda bernombor 3088418529.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya