IPOH: Bekalan barangan keperluan asas seperti ayam, ikan dan sayur-sayuran di Perak mencukupi bagi menampung keperluan penduduk meskipun bencana banjir melanda beberapa negeri baru-baru ini.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, harga barangan itu juga dilaporkan stabil dan tidak melonjak tinggi.
“Laporan secara harian oleh pegawai pemantau harga mendapati tidak berlaku masalah membabitkan bekalan dan harga barangan di pasar-pasar awam seluruh negeri.
“Sebaliknya, ada sesetengah barangan seperti sayuran pula yang mengalami penurunan harga,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) di Pasar Besar Ipoh di sini hari ini.
SHMKM yang dijadualkan berakhir 31 Disember lalu telah dilanjutkan selama 35 hari lagi berkuat kuasa 1 Januari hingga 4 Februari depan.
Jumlah barangan harga terkawal bagi pelaksanaan SHMKM itu adalah sama iaitu melibatkan 12 jenis barangan makanan keperluan asas dari kategori ayam, telur ayam dan sayur-sayuran.
Dalam perkembangan lain, Saifullizan berkata, sepanjang tahun lalu, KPDNHEP Perak telah melakukan pemeriksaan membabitkan 80,987 premis dengan menghasilkan 1,020 kes.
Katanya, ia membabitkan rampasan sebanyak RM766,144 dan kompaun berjumlah RM532,170.
“Kita merekodkan sebanyak 1,210 aduan pada tahun lalu di mana aduan tertinggi yang diterima adalah berkaitan transaksi dalam talian diikuti aduan membabitkan harga, perkhidmatan yang mengelirukan, bengkel kenderaan bermotor dan barang kawalan.
“Bagi kes tuntutan di Tribunal Pengguna pula, sebanyak 193 kes telah difailkan dan daripada jumlah itu, 90 kes melibatkan barangan manakala 103 lagi berkaitan perkhidmatan,” katanya.