Bangunan asrama, pejabat maahad tahfiz terbakar - Utusan Malaysia

Bangunan asrama, pejabat maahad tahfiz terbakar

ANGGOTA bomba memadam kebakaran bangunan asrama dan pejabat Maahad Tahfiz Assyatirie di Kampung Dulang Besar, Yan hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Sebuah bangunan asrama pelajar dan pejabat Maahad Tahfiz Assyatirie di Kampung Dulang Besar di sini terbakar hari ini.

Seramai 13 pelajar lelaki termasuk beberapa kakitangan tahfiz terbabit terselamat selepas sempat menyelamatkan diri dalam kejadian pada pukul 6.32 petang itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Yan,  Fauzi Shuaib berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian sebelum sepasukan anggota bersama dua jentera digerakkan ke lokasi.

“Kebakaran itu membabitkan sebuah bangunan rumah dua tingkat yang turut menempatkan pejabat pentadbiran di bahagian bawah manakala asrama pelajar bahagian atas.

“Api berjaya dikawal pada pukul 6.49 petang dan operasi memadam kebakaran selesai sepenuhnya kira-kira pukul 8.24 malam dengan 80 peratus bahagian atas bangunan itu musnah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau menambah, pihak forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang menyiasat punca kebakaran itu dan jumlah kerugian.

Katanya, pusat tahfiz berkenaan  beroperasi di situ sejak lebih dua tahun lalu.

Sementara itu, pelajar, Mohd. Zahiruddin Zam Zami,13, berkata, ketika kejadian dia baru  selesai mandi dan sedang bersiap untuk bersama rakannya menyembelih kambing di belakang asrama mereka.

“Tiba-tiba saya terdengar jeritan rakan-rakan di asrama yang terkejut dengan kebakaran itu sebelum bergegas turun sebelum melihat api membakar bahagian kiri asrama sebelum marak memusnahkan pejabat pentadbiran.

“Kami kemudiannya dikumpulkan di kawasan selamat oleh pihak pentadbiran dan syukur semua terselamat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN