Bangkit semula selepas sebulan banjir

Penduduk bangkit semula selepas sebulan banjir

JUHAIZAD Md. Jaiz sedang menyusun al-Quran yang disumbang oleh Yayasan Restu di Masjid Taman Sri Muda, Seksyen 25, di Shah Alam, Selangor. - FOTO/ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Biarpun sukar, namun, mangsa banjir luar biasa di Selangor khususnya di Taman Sri Muda dan beberapa kawasan lain di bandar raya ini tetap bangkit dan cuba kembali seperti asal untuk meneruskan kehidupan.

Rata-rata penduduk ketika ditemui memberitahu, kehidupan mereka tidak lagi sama seperti dahulu apabila perlu menjalani hidup seadanya selepas banyak barangan dalam rumah seperti perabot dan peralatan elektrik rosak dan terpaksa dibuang.

Mereka perlu berbelanja antara RM5,000 hingga RM20,000 bagi membeli kelengkapan rumah yang baharu serta membaiki kenderaan rosak akibat ditenggelami air.

Seorang penduduk di tingkat bawah Pangsapuri Andorra Taman Sri Muda, Seksyen 25, Ahmad Rizam Azhari, 38, berkata, isu banjir bukan asing bagi penduduk sekitar sejak beberapa tahun lalu, tetapi, banjir besar kali ini menyebabkan banyak kerugian terpaksa dialami.

Menurutnya, kerugian memang teruk kerana selain barangan dalam rumah, dia terpaksa berbelanja untuk membaiki kereta dan motosikal yang tidak sempat diselamatkan ketika banjir pada 18 Disember lalu.

“Saya dengar memang ramai hendak berpindah dari sini tetapi dalam keadaan ekonomi dan Covid-19 sekarang, rasanya tidak sesuai.

“Kalau hendak diikutkan, kawasan sekitar Shah Alam banyak terlibat banjir. Kawasan tinggi pula seperti Seksyen 9 dan Seksyen 3 sudah pasti mahal harga rumah mahupun bayaran sewanya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Sementara itu, bilal Masjid Taman Sri Muda, Juhaizad Md.Jaiz, 63, berkata, dia berharap pihak berkuasa tempatan mempertingkatkan sistem perparitan agar banjir besar seperti sebulan lalu tidak berulang.

“Masjid Taman Sri Muda ini pun masih belum dibuka selepas sebulan. Sistem bunyi bernilai RM23,000 telah rosak dan baru diganti. Saya sudah tinggal di sini lebih 30 tahun. Pada tahun 1995 banjir besar pernah berlaku, tidak sangka tahun 2021 sekali lagi banjir besar melanda,” ujarnya.

Beliau menambah, masjid tersebut dijangkakan kembali beroperasi selepas program gotong-royong yang akan diadakan pada hujung minggu ini.

Terdahulu, banjir luar biasa melanda negeri ini pada 18 Disember lalu menyebabkan lebih 30,000 penduduk berpindah ke 202 Pusat Pemindahan Sementara (PPS), antara yang terjejas teruk seperti Shah Alam, Pelabuhan Klang, Hulu Langat dan Kuala Langat.

Malah di Shah Alam, sahaja, sebanyak 14 kematian direkodkan yang mana 12 daripadanya adalah mangsa banjir di Taman Sri Muda.

Dalam pada itu, Seorang mangsa banjir di Seksyen 17 di sini, Rosaida Said,49, pula berkata, peristiwa banjir 18 Disember tahun lalu pertama kali dialaminya dan berharap
sistem perparitan di kawasan tersebut disenggara secara berkala oleh pihak berkuasa.

“Walaubagaimanapun saya melahirkan rasa syukur kerana belum cukup sebulan peristiwa tersebut, saya menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) dari Kerajaan Pusat dan Dana Selangor Bangkit dari Kerajaan Negeri Selangor masing-masing bernilai RM1,000 setiap satu.

“Air yang naik mendadak hampir satu meter sebulan yang lalu menyebabkan peralatan elektrik seperti peti ais rosak,” luahnya.

Seorang penduduk Padang Jawa, Abu Bakar Latif, 49, berkata, bantuan RM2,000 daripada kerajaan negeri dan persekutuan yang sedikit sebanyak dapat membantu dirinya untuk memulihkan semula perniagaan sistem audio untuk majlis keraian.

“Saya juga sedang memohon Dana Usahawan Mikro daripada Kerajaan Negeri Selangor bagi menghidupkan semula punca pendapatan saya sebagai usahawan sistem bunyi dan karaoke.

“Walaupun dapat menampung sedikit kerugian, terima kasih saya ucapkan kepada pihak Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor atas keprihatinan mereka kepada nasib mangsa banjir,” katanya.

Katanya lagi, pihak berkuasa perlu memasang sistem amaran banjir agar peristiwa banjir sedemikian tidak berulang.

Penduduk Kampung Johan Setia, Hafiz Saribin, 52, pula berharap sistem perparitan di kampung tersebut segera dinaik taraf disebabkan projek pembangunan yang pesat di kawasan kampung tersebut.

Jelasnya lagi, selepas sebulan hujan masih turun sekali-sekala sebelah petang dan dia bimbang hujan lebat menyebabkan kampung tersebut banjir sekali lagi.

“Saya berharap pihak berkuasa tempatan segera membuat mitigasi terhadap sistem perparitan di kampung ini. Kampung Johan Setia boleh banjir setinggi 0.6 meter, sebelum ini hanya setakat buku lali,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya