JEMPOL: Sedar kesedihan yang dialami mangsa terjejas banjir khususnya kanak-kanak, Persatuan Seniman Badut Malaysia tampil memberikan keceriaan dengan hadir menghiburkan mereka yang masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).
Salah seorang ahli persatuan tersebut, Mohd. Akmal Ashraf Jamal Abd. Nasir, 32, berkata, inisiatif yang diambil pihaknya adalah kerana mahu membantu memulihkan emosi mangsa yang mengalami kesedihan selepas berdepan bencana banjir.
Jelasnya, program yang dikenali Misi Penghibur Hati Kanak-Kanak tersebut telah berlangsung selama empat hari bermula di Selangor kelmarin diikuti Negeri Sembilan pada hari ini dan seterusnya akan ke Melaka esok.
“Menerusi program ini kami membawa sekali buku, permainan, makanan dan alat tulis untuk diagihkan kepada kanak-kanak di setiap PPS yang diziarahi.
“Setiap kali kami sampai, dapat dilihat wajah suram kanak-kanak bertukar menjadi ceria terutama selepas dihiburkan dengan keletah badut-badut yang hadir.
“Mereka sangat terhibur dan saya berharap sedikit sebanyak program ini dapat memulihkan kembali emosi mereka,” katanya ketika ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Palong 1, di sini hari ini.
Mohd. Akmal Ashraf, program di Negeri Sembilan pada hari ini, pihaknya telah mendapat kerjasama daripada Pusat Komuniti Desa Serting Ilir, Persatuan Asrama Belia Malaysia Jempol dan Majlis Belia Daerah Tampin.
“Terima Kasih kepada semua yang menyumbangbagi menjayakan misi pada hari ini, kami telah menyantuni seramai 260 orang kanak-Kanak bermula di PPS SK Palong 1, diikuti PPS SK Sungai Kelamah dan beberapa PPS lain di sekitar Jempol dan Tampin,” jelasnya.