B.O.S setia bersama Johor Tigris - Utusan Malaysia

B.O.S setia bersama Johor Tigris

KEHADIRAN penyokong akan menjadi kekuatan Johor Tigris.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Biarpun Johor Tigris menduduki tangga tercorot Liga Premier Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/22, namun keputusan itu tidak mengendurkan semangat peminat pasukan itu untuk terus memberi sokongan padu.

Kehadiran Ultras Johor Darul Ta’zim (JDT) atau lebih dikenali sebagai Boys of Straits (B.O.S) ke Stadium Titiwangsa kelmarin jelas memberikan semangat kepada pemain Johor Tigris yang mempamerkan aksi lebih meyakinkan, namun, kemenangan tidak memihak kepada pasukan itu yang tewas 16-21, 21-18, 16-21 kepada Negeri Sembilan Antlers.

Semangat juang dan tentangan sengit yang dipamerkan pemain Johor dalam perlawanan itu, menyaksikan penyokong mereka memberikan tepukan gemuruh.

Kelewatan kehadiran B.O.S kerana mereka terlibat dengan misi bantuan pasca banjir berikutan masih ada kawasan di sekitar Johor belum pulih sepenuhnya.

Jurucakap Ultras, Farihin Johari, 35, berkata, Johor Tigris amat memerlukan sokongan moral daripada penyokong untuk mengharungi saingan musim ini.

Dia dan penyokong lain berharap pasukan itu dapat mengejar kedudukan enam terbaik bagi membolehkan Johor bersaing di saingan Piala Juara-Juara yang akan berlangsung di negeri selatan tanah air itu.

“Kami bukan ada bersama pasukan bila menang sahaja, pasukan kalah pun kami tetap memberikan sokongan. Ketika ini, Johor Tigris memang memerlukan sokongan moral dan saya berharap dengan kehadiran kami, sedikit sebanyak pasukan dapat tingkatkan keyakinan mereka.

“Saya juga berharap Johor dapat bangkit daripada kekalahan dan kejar kelompok enam terbaik liga supaya Johor Tigris dapat bermain di halaman sendiri seterusnya menjulang piala sekiranya ada rezeki,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Farihin menambah, Boys of Straits yang pada asalnya adalah sebuah kelab penyokong bola sepak JDT mahu terus mengorak langkah dengan menyokong segala jenis sukan yang melibatkan negeri itu.

Ultras yang membawa seramai 50 ahli itu hadir menaiki bas dari Johor, nyata menggamatkan suasana stadium dengan sorakan padu dan diiringi pukulan gendang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya