SEREMBAN: Gara-gara hutang, seorang lelaki cedera parah di bahagian dada terkena senjata tajam selepas berlaku pergelutan dengan suspek yang juga rakannya dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Dusun Setia, di sini malam semalam.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, polis menerima panggilan kecemasan daripada orang awam memaklumkan mangsa seorang buruh kasar berusia 30 tahun dicederakan dengan senjata tajam pada pukul 9.40 malam.
“Mangsa memaklumkan sebelum kejadian pada pukul 8.30 malam dia berseorangan menaiki motosikal ke rumah suspek di Taman Dusun Setia untuk meminta hutang. Mangsa menyatakan minggu lepas suspek ada meminjam duit daripadanya dan berjanji membayar hutang tersebut selepas menerima gaji (hari kejadian),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Nanda, namun begitu berlaku pertengkaran mulut antara mangsa dengan suspek seorang lelaki berusia 28 tahun sebelum pergelutan antara mereka berdua.
“Pergelutan itu menyebabkan mangsa terjatuh di atas jalan raya pada masa sama, dia menyatakan suspek ada memegang objek tajam dan terkena pada bahagian dadanya sehingga berdarah. Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban untuk rawatan lanjut manakala suspek telah melarikan diri,” katanya.
Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan luka di bahagian dada sebelah kanan sepanjang empat sentimeter dan kini dalam pemerhatian hospital.
Tambah beliau, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan suspek masih dikesan.- UTUSAN ONLINE