AMK dakwa Hasni sengaja wujudkan persepsi PRN Johor - Utusan Malaysia

AMK dakwa Hasni sengaja wujudkan persepsi PRN Johor

AKMAL Nasrullah Mohd. Nasir (kanan) ketika ditemui selepas memberi keterangan bagi membantu siasatan polis susulan ‘Konvoi AMK Selamatkan SPRM’ di IPD Johor Bahru Selatan, Johor. - UTUSAN/KHAIRUL MOHD ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendakwa desas desus Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bakal diadakan dalam waktu terdekat ini hanyalah persepsi yang diwujudkan oleh UMNO sendiri untuk manfaat mereka.

Ketua sayap PKR itu, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, hal itu kerana parti terbabit berhasrat menubuhkan sebuah kerajaan negeri baharu dengan kuasa yang lebih dominan, berbanding kerajaan negeri ketika ini.

“PRN Johor memang menjadi persoalan kerana bagi saya persepsi itu diwujudkan sendiri oleh Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dalam keadaan kita berdepan dengan situasi banjir, tetapi isu itu dibangkitkan beliau.

“Saya tidak nampak pihak lain memulakan perkara ini (PRN Johor), melainkan di pihak Menteri Besar sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas memberi keterangan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, di sini, hari ini.

Beliau memberi keterangan bagi membantu siasatan polis susulan ‘Konvoi AMK Selamatkan SPRM’ di IPD Johor Bahru Selatan.

Terdahulu, khabar angin yang mengatakan Johor bakal menghadapi PRN dalam waktu terdekat semakin kedengaran selepas kerajaan negeri hanya memiliki kelebihan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu 28 berbanding 27.

Situasi itu berlaku selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian meninggal dunia pada 21 Disember tahun lalu sekaligus menjadikan pemerintahan Hasni semakin berada dalam keadaan getir.

Bagaimanapun, Pakatan Harapan (PH) Johor dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sudah menjelaskan mereka tiada masalah untuk Hasni terus mentadbir Johor sehingga tamat penggal atau sekurang-kurangnya sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Tambah Akmal Nasrullah, alasan PRN Johor perlu dilakukan demi kestabilan politik tidak seharusnya menjadi isu kerana apa yang dituntut rakyat adalah kerajaan yang menjaga kebajikan mereka.

“Menteri Besar sahaja tidak boleh bercakap mengenai PRN kerana beliau bukan pimpinan paling tinggi (dalam parti), tetapi bukan itu rakyat perlukan ketika ini kerana kita masih dalam fasa pandemik serta musibah banjir yang belum selesai sepenuhnya.

“Memang kerajaan negeri ada kuasa di untuk membubarkan DUN, tetapi yang mewujudkan suasana tidak stabil ini bukan daripada Pakatan Harapan (PH) tetapi sebelah sana (UMNO), jadi kalau boleh lebih baik tumpu untuk membantu rakyat sahaja ketika ini,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Johor Bahru itu turut memberitahu kesediaan pihaknya untuk menjalin kerjasama dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dalam pilihan raya umum akan datang.

“AMK sebagai sayap pemuda dalam PKR, bermaksud semua keputusan berkaitan parti tertakluk kepada pendirian parti,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.