Akta baharu bakal hapus rokok di Malaysia - Utusan Malaysia

Akta baharu bakal hapus rokok di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan berhasrat menggubal perundangan baharu dikenali sebagai Akta Kawalan Tembakau dan Merokok dalam persidangan Parlimen, tahun ini.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, undang-undang yang dianggap lebih tegas itu bakal melahirkan generasi yang tidak lagi kenal apakah itu rokok dan produk berkaitannya.

“Pada saya, peruntukan akta ini memang harus diwujudkan segera demi memastikan sampai satu masa kelak, anak muda generasi terakhir kita akan tidak kenal apa itu rokok,” katanya ketika berucap demikian pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 peringkat kementerian itu secara hibrid di sini, baru-baru ini.

Ia perutusan julung kali Ahli Parlimen Rembau itu sebagai Menteri Kesihatan ke-22 setelah dilantik menyandang jawatan pada 27 Ogos lalu menggantikan Datuk Seri Dr. Adham Baba. Meskipun tidak dinyatakan secara spesifik, beliau merujuk Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (Pindaan 2018) yang diwartakan pada 2020 sebagai undang-undang larangan merokok.

 Isu itu pernah dibawa ke mahkamah oleh sekumpulan perokok tegar namun kes ditolak hakim kerana ia melanggar hak asasi golongan tidak perokok menikmati udara bebas pencemaran. Tidak ketinggalan Akta Racun 1952 yang menguatkuasakan isu penjualan rokok elektronik dengan mengandungi cecair nikotin dan larangan penjualan ke atas pembeli bawah 18 tahun.

 Mengulas lanjut, Khairy berkata, walaupun akta baharu itu kelak dijangka boleh mengundang banyak kontroversi, beliau perlu bermula sekarang bagi mengawal selia trend gejala merokok.

 “Akta ini juga nanti akan memperuntukkan apa yang diharapkan sebagai generation end-game (generasi penamat) perbuatan merokok di Malaysia untuk tempoh jangka panjang,” jelasnya.

 Beliau dalam nada kecewa menambah, sistem penjagaan kesihatan awam sudah terlalu lama dibebankan pelbagai isu rantaian yang wujud akibat perbuatan merokok golongan minoriti itu.

 Setakat ini, Malaysia di tangga ke-72 paling ramai perokok di dunia dengan kadar 22 peratus atau tujuh juta penduduknya ialah perokok dan 53 peratus daripada jumlah itu ialah wanita. Lebih 10,000 kematian dicatatkan setahun di negara ini disebabkan komplikasi merokok dengan nilai kerugian ditanggung kos rawatan dan kehilangan produktiviti kira-kira RM20 bilion.  Meskipun pelbagai kempen dibuat malah zon larangan merokok ditambah, tahap kesedaran katanya tetap sama dengan melihat angka kemasukan pesakit jantung, kanser dan lain-lain.

 Khairy juga bertekad menyemak semula Akta Dadah Berbahaya dan Akta Racun bagi isu kawal selia dapat dilakukan ke atas penggunaan substans tumbuhan seperti ganja dan ketum. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya