PUTRAJAYA: Seramai 1,889 pegawai dan anggota bomba dan penyelamat kini berada dalam keadaan kesiapsiagaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir yang berlaku di Johor.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kesemua anggota berkenaan membabitkan 33 balai bomba dan penyelamat di Johor.
“Bilangan terbabit melibatkan 1,151 pegawai bomba dan 600 pasukan bomba sukarela yang akan bertugas setiap masa.
“Dari segi logistik, 84 buah bot disediakan bagi memastikan urusan perpindahan dan bantuan berjalan dengan lancar,” katanya ketika sama-sama menyertai Unit Pasukan Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat membuat tinjauan operasi banjir di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor serta membawa bantuan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Daerah Segamat, Johor.
Reezal turut merafak setinggi-tinggi kasih di atas perkenan Tuanku Sultan Johor dan Tunku Mahkota Johor yang mencemar duli, berangkat turun melihat sendiri keadaan rakyat yang terjejas akibat banjir ini sejak mula berlaku.
“Keberangkatan Baginda berdua mencerminkan keprihatinan raja pemerintah terhadap kebajikan rakyat,” jelasnya.
Katanya, kementerian turut menyerahkan 700 unit Bakul Bencana sumbangan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) berupa barangan makanan kering seperti beras, air mineral, tepung, gula dan sebagainya kepada semua keluarga mangsa yang terkesan di PPS yang dilawati.
Beliau turut memberi jaminan bahawa KPKT akan memastikan usaha pemulihan akan diteruskan setelah banjir surut di Segamat.
Katanya, dengan peruntukan sebanyak RM67.5 juta bagi tujuan kerja-kerja pasca banjir yang diumumkan baru-baru ini, ia juga meliputi persediaan banjir gelombang kedua di Johor, Kelantan, Terengganu, Perak, dan Pulau Pinang.
“KPKT telah menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM7.8 juta bagi kerja perkhidmatan kutipan, pembersihan dan pelupusan sisa banjir.
“Ini menjadikan, jumlah peruntukan untuk kerja-kerja pembersihan pasca banjir secara kumulatifnya adalah berjumlah RM20.4 juta,” tegasnya.