12 pesalah muda antara 23 individu didakwa promosi judi dalam talian - Utusan Malaysia

12 pesalah muda antara 23 individu didakwa promosi judi dalam talian

SERAMAI 23 individu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, Georgetown, Pulau Pinang  atas dakwaan mempromosikan judi dalam talian.  - UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Seramai 23 individu dengan 12 daripada mereka adalah pesalah muda berusia bawah 21 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dakwaan mempromosikan judi dalam talian. 

Kesemua mereka masing-masing 19 lelaki dan empat perempuan berusia antara 17 hingga 32 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Rosnee Mohd. Radzuan.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa mempromosikan permainan perjudian di dalam talian kepada pelanggan dengan menggunakan set komputer di dua lokasi berbeza. 

Seramai 10 daripada mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kondominium di Persiaran Gurney pada 7 Januari lalu pukul 5.25 petang manakala 13 yang lain di sebuah kondominium di Jalan Kelawei pukul 6.45 petang pada tarikh sama. 

Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM50,000 serta hukuman penjara tidak lebih tiga tahun. 

Selain itu, tertuduh juga berdepan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM50,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas jika sabit kesalahan. 

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Aqilah Khalil memohon mahkamah mengenakan jaminan maksimum RM10,000 namun peguam kesemua tertuduh, Pang Chun Keat memohon jaminan dikurangkan kepada RM5,000. 

Ini kerana menurut Chun Keat, tertuduh tidak mempunyai pekerjaan tetap dan masih bujang selain tidak mempunyai rekod kesalahan lampau serta tiada kebarangkalian untuk melarikan diri. 

Malah katanya, kesemua tertuduh juga terjejas mental dan fizikal kerana masih direman hari ini bagi tujuan pendakwaan meskipun tempoh tahanan reman mereka sepatutnya berakhir semalam. 

Rosnee kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM9,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua tertuduh manakala kes akan disebut semula pada 7 Mac depan. 

Akhbar sebelum ini melaporkan Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan sindiket perjudian online yang menjadikan dua unit kondominium mewah sebagai pusat operasi selepas menahan 23 individu dalam dua serbuan berasingan Jumaat lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, kesemua yang ditahan bekerja sebagai ejen mempromosikan sindiket perjudian online dengan gaji antara RM1,500 hingga RM2,000 sebulan selain turut dibayar komisyen sebanyak lima peratus jika pelanggan kalah dalam permainan  perjudian tersebut. 

Tambahnya, menerusi kedua-dua serbuan itu, polis merampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk aktiviti perjudian antaranya 85 unit telefon bimbit pelbagai jenama; 18 unit komputer riba, lapan set komputer meja; 49 keping kad sim dan dua buah kereta jenis Honda. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya