KOTA KINABALU: Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) terus mempergiatkan usaha konservasi bagi melindungi spesies hidupan terancam di Sabah.
Langkah itu diambil setelah menyaksikan populasi gajah di negeri ini kini hanya tinggal kira-kira 1,000 ekor manakala, tembadau sebanyak 500 ekor.
Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar berkata, susulan itu satu memorandum persefahaman (MoU) dimeterai antara Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) dan Sabah Environmental Trust (SET) iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi melindungi dan mengurus spesies terancam di Kompleks Hutan Hujan Lembah Danum-Lembangan Maliau-Kanyon Imbak (DaMal).
Usaha pemelihaaran hidupan terancam di tiga kawasan konservasi ini juga dilihat mampu meningkatkan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan bagi perlindungan hidupan liar di samping, membanteras kegiatan pemburuan dan pencerobohan haram.
MoU mengenai kajian terhadap spesies terancam secara global di Kompleks Hutan Hujan Damal yang ditandatangani ini merupakan kesinambungan kerjasama yang ditemeterai pada 24 Oktober 2017.
Katanya, fokus utama MoU yang berlangsung selama lima tahun ini bagi menyokong penyelidikan dan pendidikan berkaitan alam sekitar di Kompleks Hutan Hujan Damal.
“Saya yakin MoU ini bakal meningkatkan pewartaan DaMaI di mata dunia dan akanmerangsang lagi usaha kerajaan negeri Sabah bagi mendapatkan pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia di bawah Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNECO),” katanya.
Beliau menyatakan demikian selepas majlis menandatangani MoU mengenai kajian terhadap spesies terancam secara global di Kompleks Hutan Hujan Damal hari ini.
Ghulam Haidar berkata, KYS dan SET turut menandatangani dokumen pelantikan khidmat pakar perunding projek formulasi Pelan Strategik Pengurusan Kawasan Konservasi Pesisiran Pantai Silam (SCCA) 2023-2033.
Menerusi pelan strategik itu, SET bertanggungjawab untuk mengumpul maklumat, merangka dan menyunting pelan pengurusan strategik tersebut, termasuk mengendalikan ekspedisi saintifik, serta mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SET, Dr. Rahimatsah Amat berkata, pada peringkat awal, kajian ini akan dilakukan di Kawasan Konservasi Lembangan Maliau dan tertumpu kepada spesies tembadau dan gajah.
“Kajian ini akan diketuai oleh Prof. Dr. Abdul Hamid Ahmad selaku Penyiasat Utama dari Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (UMS), yang juga merupakan seorang pakar dalam hidupan liar,” katanya.
MoU tersebut ditandatangani antara KYS yang diwakili Ghulam Haidar dan Setiausaha Korporat Yayasan Sabah, Hanafiah Diman manakala SET diwakili oleh Dr. Rahimatsah dan Pengerusi SET, Datuk Verus Aman Sham.- UTUSAN ONLINE