MELAKA: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (YaPEIM) menyumbang RM34,000 dalam bentuk pek makanan asas dan daging segar kepada pelajar dan kakitangan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).
Pengurus Pentadbiran YaPEIM Melaka dan Negeri Sembilan, Azharry Giman berkata, sebanyak 200 pek makanan asas dan 400 kilogram daging segar akan diagihkan kepada 600 penerima yang layak.
Menurut beliau, sumbangan itu bertujuan meringankan beban pelajar dan kakitangan yang tergolong dalam kategori B40 susulan kenaikan harga barangan ketika ini.
“Sumbangan seumpama ini merupakan kerjasama kali pertama dengan UTeM. Kami mendapat permintaan khas daripada universiti yang memohon sumbangan berbentuk makanan kering dan daging segar kepada golongan B40.
“Justeru, setiap penerima diperuntukkan satu pek makanan asas yang bernilai RM100 atau sekilogram daging yang berharga RM35 atau kedua-duanya. Antara makanan asas yang diberikan terdiri daripada beras, susu, minyak masak, biskut dan sardin.
“Kita harapkan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan para pelajar,” katannya dalam sidang akhbar majlis penyerahan sumbangan sempena Pesta Konvo Maya Tuah di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (TNC) Penyelidikan dan Inovasi yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof. Ir. Dr. Ghazali Omar dan TNC Hal Ehwal Pelajar, Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif.
Sementara itu, seorang penerima bantuan yang juga pelajar UTeM, Muhammad Sufi Ridhwan Mohd. Khir, 23, berkata, pek makanan asas yang diterima membolehkannya berjimat untuk tempoh dua minggu.
Katanya, bantuan YaPEIM sangat membantu khususnya kepada pelajar memandangkan harga barang keperluan termasuk makanan semakin mahal. – UTUSAN