Baru-baru ini, Poklip ada berbual dengan seorang rakan media. Sedang enak menghirup secawan kopi, tiba-tiba dia menyebut nama penyanyi muda, Wani Kayrie. Budaknya popular dan memang dikenali.
Poklip tanya juga, kenapa tiba-tiba mahu berborak tentang Wani? Tidak ada angin, ribut segala kan. Rupa-rupanya dia sedang asyik bermain Instagram dan akaun penyanyi itu melintasi garis masanya.
Bukan mengumpat jauh sekali mengata, cuma si polan itu bertanya mengapa nama Wani agak lambat panas. Suara sedap, berbakat dalam nyanyian dan lakonan, tetapi dia seperti masih ‘struggle’ dalam membina nama?
Mahu salahkan siapa? Pengurusan lama, baharu atau mungkin rezeki belum berpihak? Atau strategi kerjaya seni belum cukup tersusun sehingga ada segelintir pemain industri melihat Wani masih seperti Budak Baru Nak Up (BBNU) lain.
Itu persoalan yang ditimbulkan. Susah untuk Poklip menafikan isu tersebut kerana sebenarnya, gadis berusia 21 tahun itu sudah lebih sedekad dalam industri. Dia memulakan kerjaya seni seawal umur 10 tahun tau!
Banyak lagu-lagunya yang popular dan menerusi pelbagai program realiti juga, dia berjaya membuktikan kehebatan vokal dan nyanyiannya.
Bakat dan kemampuan penyanyi muda ini tiada siapa mampu menyangkal. Cuma di mata segelintir pihak, dia telah ‘didewasakan’ sebelum usianya. Kanvas seninya dicorakkan dengan warna matang dan dewasa.
Realitinya, draf seni Wani sekarang semakin berkembang. Baik lakonan dan nyanyian malah pengacaraan. Malah, dia juga mempunyai kelab peminat yang sentiasa memberi sokongan kepadanya.
Soal pemilihan lagu, watak dalam lakonan dan gaya fesyen juga, Wani sudah mula bijak. Tidak mustahil, dia mampu bergelar anak seni berjaya dan popular satu hari nanti. Poklip tahu Wani boleh dan pasti akan berjaya!