SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor tidak menolak kemungkinan berlaku persempadanan semula yang menyebabkan tambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila daftar pemilih berusia 18 tahun (Undi18) dilaksanakan pada tahun depan.
Penambahan kerusi dijangka dipengaruhi peningkatan jumlah pengundi baharu berusia 18 hingga 20 tahun dan ditambah dengan migrasi penduduk dari negeri lain ke Selangor supaya taburan pengundi di sesebuah kawasan dapat diagihkan secara sekata.
Hal demikian dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam negeri, Ng Sze Han yang memberitahu, kawasan seperti Kinrara, Bukit Lanjan, Subang Jaya dan Kajang dijangka terlibat kerana mempunyai kepadatan penduduk tinggi.
“Malah kawasan DUN ini mempunyai jumlah pengundi yang lebih ramai daripada jumlah pengundi di beberapa kawasan Parlimen.
“Jadi, saya bersetuju dengan apa yang diperkatakan Bukit Lanjan (Elizabeth Wong) bahawa jumlah pengundi perlu diagihkan secara sekata di beberapa buah negeri dan DUN Selangor perlu ditambah,” katanya ketika ketika Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-14 Tahun 2021 di Bangunan Annex, di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Elizabeth yang bertanyakan adakah adil bagi sesebuah kawasan DUN mempunyai jumlah pengundi sebanyak 100,000 pengundi.
Bagaimanapun, Sze Han menjelaskan perubahan, persempadanan semula dan pengagihan pengundi hanya boleh ditentukan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Menurutnya, kali terakhir DUN Selangor ditambah pada 2003 sewaktu proses persempadanan semula dilakukan sebelum pilihan raya umum 2004 dijalankan dengan penambahan lapan buah kerusi.
“Proses persempadanan semula telah berlangsung di seluruh negara pada 2018 dan setiap kajian persempadanan semula perlu disiapkan tidak melebihi tempoh dua tahun,” katanya.