KUALA SELANGOR: Badan Perhubungan UMNO Selangor berharap pihaknya diberi autonomi bagi menguruskan sendiri kerjasama Muafakat Nasional (MN) dengan Pas.
Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, pada mesyuarat yang dilakukan bersama Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi pada bulan lalu, perkara itu ada dibangkitkan dan kedua-dua pihak sepakat bagi meminta autonomi daripada parti masing-masing di Selangor.
“Saya dengan Datuk Yunus kalau boleh nak minta autonomi, saya daripada UMNO dan beliau Pas.
“Kalau Selangor ini, biarlah ‘special‘ sikit,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Terdahulu, Noh yang merupakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merasmikan kilang syarikat Aducktive Food Sdn. Bhd. di Kota Puteri, Ijok, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Tanjung Karang itu menambah, hubungan kedua-dua pihak setakat ini masih berada dalam suasana harmoni dan baik.
Bagaimanapun, pihaknya mengakui keputusan akhir yang akan menentukan sama ada UMNO di Selangor diberi autonomi atau tidak akan ditentukan oleh pucuk pimpinan tertinggi.
“Prinsip UMNO jelas bahawa kita akan bersama dan maksudnya setakat ini kita (UMNO dan Pas) masih bersama.
“UMNO Selangor setakat ini berhubung baik dan kita nampak MN di Selangor boleh berterusan. Apa pun, kita faham akhirnya pucuk pimpinan yang akan menentukan,” jelasnya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan Pas menolak gagasan Muafakat Nasional (MN) kerana UMNO tidak mengikut piagam yang dipersetujui ketika kerjasama dua parti itu dibentuk.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, berdasarkan piagam MN, dua parti itu sedia menerima parti-parti lain termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).










