KUALA TERENGGANU: Konflik antara Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) berkemungkinan dapat diatasi sekiranya wujud satu gagasan penyatuan ummah yang lebih besar dan melangkaui politik di negara ini.
Cetusan idea itu dilontarkan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai antara penyelesaian terhadap pertikaian kecil yang timbul membabitkan rakan-rakan kerjasamanya.
“Mungkin negara memerlukan satu gagasan penyatuan besar bukan hanya dalam lingkungan kerangka Semenanjung, sebaliknya meliputi Sabah dan Sarawak, yang melihat kepentingan ummah serta negara sebagai satu fikiran bersama.
“Itu salah satu pandangan saya untuk keluar daripada kemelut pertembungan yang kecil-kecil, kalau MN-PN-MN-PN. Tetapi ini cuma idea awal, nanti kita akan tengoklah, mungkin (gagasan) itu sebagai penyelesaian,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika ditanya pemberita selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun Pas Ke-70 di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI) di sini hari ini.
Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, Pas menghormati apa jua keputusan UMNO mengenai hala tuju dan kerjasama kedua-dua parti berkenaan dalam MN yang bakal ditentukan pada Perhimpunan Agung UMNO.
“Kita tunggu keputusan Majlis Tertinggi UMNO, namun kita tidak akan campur tangan kerana kita menghormati mereka.
“Saya yakin sebenarnya keputusan itu telah dibuat oleh perwakilan-perwakilan UMNO sebelum ini yang mereka mahu mengekalkan MN, jadi, kita harap positif lah keputusannya,” katanya.