[TRAGEDI TANJUNG BALAU] Kemasukan PATI dibimbangi cetus penularan Omicron - Utusan Malaysia

[TRAGEDI TANJUNG BALAU] Kemasukan PATI dibimbangi cetus penularan Omicron

Pegawai dari Kedutaan Indonesia memeriksa barang milik mangsa bot karam di pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) khususnya menerusi laluan laut dikhuatiri menyebabkan penularan varian baharu Covid-19, Omicron.

Ini kerana kehadiran mereka tanpa kawalan menyukarkan pengesanan kes.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar kesihatan komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh tidak menolak kemungkinan mereka bolos ke negara ini menyebabkan jangkitan baharu dan menjadi punca penularan sukar dikesan.

Katanya, memandangkan kawasan negara ini sangat luas dan terdapat ruang dibolosi, sudah pastinya terdapat kes penularan berpunca akibat aktiviti penyeludupan PATI.

“Isunya adalah jika terlalu banyak kemasukan PATI hingga kini tidak dilaporkan dan ber­asimilasi dengan rakyat tempatan, ia boleh menyebabkan gelombang baharu Covid.

“PATI memang boleh membawa virus dan isunya sempadan kita agak luas dan banyak kawasan yang bolos. Begitu juga dengan sempadan melalui jalan air yang mungkin bolos dengan pendatang asing dari negara tertentu. Ini sudah tentu punca jangkitan yang boleh dibawa ke negara ini,” katanya.

Kelmarin, hajat 50 pendatang PATI Indonesia yang mahu mencari rezeki di negara ini dengan menyusup masuk tidak kesam­paian apabila bot yang membawa mereka karam kira-kira tiga kilometer dari lokasi mendarat di pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi Johor.

Justeru, Dr. Sharifa Ezat menegaskan, kehadiran PATI perlu diambil perhatian kerana bimbang boleh menyebabkan penularan varian lain Covid-19 dengan kawasan sempadan negara kini perlu diperketat segera.

Dalam pada itu, geostrategis, Dr. Azmi Hassan berkata, Malaysia tidak boleh keseorangan dalam membanteras aktiviti penyeludupan PATI dengan Indonesia perlu terlibat memerangi dalang utama kegiatan tersebut yang tidak kesudahan.

Katanya, perkara itu penting bagi mengelakkan tragedi di Tanjung Balau mengulangi episod sama seperti pernah berlaku sebelum ini.

Katanya, Indonesia perlu terlibat sama bagi menjejaki orang tengah di negara mereka yang terlibat dalam kegiatan itu.

Jelas beliau, insiden itu meng­ulangi tragedi di Dover, United Kingdom (UK) apabila lebih 25 imigran dari Calais, Pe­rancis terkorban ketika menyeludup masuk Selat Inggeris baru-baru ini.

“Namun kerajaan kedua-dua negara terlibat mengambil langkah segera apabila mereka berganding bahu membanteras kegiatan penyeludupan PATI.

“Perkara sama kalau Malaysia sahaja mengekang kegiatan ini memandangkan penyeludup sudah masuk, sedangkan ia wajar bermula di Indonesia. Dalam hal ini, kerjasama negara itu diperlukan memerangi sindiket penyeludup ini,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN