KOTA TINGGI: Radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengesan terlebih dahulu kehadiran bot yang karam semasa membawa pendatang asing tanpa izin (PATI), kelmarin.
Bagaimanapun, disebabkan cuaca buruk pengesanan awal yang dilakukan terhadap bot pancung itu terputus sekali gus menyebabkan mereka meloloskan diri sebelum karam di perairan Tanjung Balau.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Malaysia Johor, Kepten Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa berkata, setelah mengesan kehadiran bot tersebut kira-kira pukul 2 pagi, Maritim Malaysia berhubung dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi berkongsi maklumat.
“Sejak dua hari lepas cuaca buruk. Jika merujuk kepada laporan meteorologi berlaku hujan lebat dalam tempoh tertentu, transmisi pengesanan radar terganggu di lautan.
“Itu yang menyebabkan bot berkenaan boleh bolos ditambah pula dengan kemampuan enjin bot yang mencapai sehingga 800 kuasa kuda,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Operasi Carilamat di Pantai Tanjung Balau di sini semalam.
Difahamkan, bot tersebut yang sepatutnya mendaratkan PATI di Kampung Tengah bertindak mengubah haluan setelah menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Bot sama yang dikatakan akan turut mengambil warga Indonesia lain pulang ke negara republik itu, sebaliknya menuju ke arah Tanjung Balau yang terletak dua hingga tiga kilometer dari lokasi asal.
Sindiket dan dalang yang disyaki terlibat dalam insiden itu sudah dikenal pasti, namun Maritim Malaysia belum dapat mendedahkan identiti terlibat.
“Polis sedang memantau dan bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia untuk menjejaki dalang,” katanya.