KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menyifatkan politik di negara ini tidak memerlukan sebuah parti dominan.
Untuk mengekalkan semak dan imbang di negara ini, tidak harus wujud sebarang parti dominan yang menguasai politik negara.
Beliau berkata, sistem politik negara ini memerlukan pembangkang bagi melakukan semak dan imbang dan bukannya menandatangani memorandum yang menghalang kebebasan wakil rakyat bersuara.
“Seumpama apa yang berlaku semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kita melihat UMNO menolak Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan Bersatu pula menolak UMNO.
“Namun, siapa UMNO, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan siapa Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Penasihat Perdana Menteri, jadi penasihat menolak Perdana Menteri.
“Tapi bila sampai di Putrajaya, mereka duduk dan minum semeja. Mereka bertembung di Melaka tapi bekerjasama di Putrajaya. Kekeliruan dan kebingungan yang berlaku menyebabkan rakyat yang mengundi juga bingung.
“Apa kita buat pada rakyat dan negara ini, apa sebenarnya kita lakukan sebagai ahli politik, nilai apa yang kita mahu terjemahkan dan terapkan kepada pengundi,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Mengulas lanjut katanya, persoalan tentang parti dominan itu terserah kepada rakyat kerana parti dominan bukan ditentukan oleh parti politik, rakyat yang harus menentukannya.
“Sekiranya rakyat mahu mengundi sebuah parti untuk memerintah, itu hak rakyat. Kita tidak boleh meletak syarat dan peraturan,” katanya.
Sebelum ini, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menyatakan sistem parti politik dominan tidak lagi sesuai di negara ini.
Namun, pandangan itu berbeza dengan kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamaed Khalid Nordin bahawa parti dominan penting bagi memastikan kerajaan dibentuk dapat memberi fokus kepada pembangunan negara dan bukan menyelamatkan kuasa yang dicapai apabila parti politik memenangi kerusi terbanyak bagi membentuk kerajaan majoriti.