Tidak murtad jika sengaja makan daging babi - Utusan Malaysia

Tidak murtad jika sengaja makan daging babi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Umat Islam yang sengaja memakan daging khinzir dihukum sebagai berdosa kerana haiwan itu adalah haram di sisi agama berdasarkan pelbagai dalil al-Quran dan hadis.

Bagaimanapun, pelakunya tidak pula dianggap jatuh murtad kecuali dia mengatakan secara terang bahawa daging babi sebagai halal kerana menghalalkan apa yang diharamkan syarak.

Demikian pandangan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) melalui penjelasan isu semasa dalam slot Al-Kafi li al-Fatawi yang disiarkan laman sesawang rasminya itu, kelmarin.

Pencerahan itu susulan tular dalam media sosial memaparkan ada individu Muslim sengaja makan di restoran bukan Islam yang tiada logo halal malah bangga menikmati hidangan babi.

Menurut agensi tersebut, hukum memakan daging khinzir adalah haram berdasarkan firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 173 yang menyatakan perintah tegas larangan berkenaan.

Isu ini malah turut dihuraikan oleh ramai ulama terkenal antaranya ialah Imam Fakhruddin al-Razi dalam kitab Tafsir al-Kabir Jilid 3 dan Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam Tafsir al-Munir Jilid 4.

Tidak ketinggalan ialah Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi dalam kitabnya, Al-Mughni Li Ibn Qudamah dengan merujuk status Muslim yang menghalalkan daging tersebut sebagai jatuh kafir.

Katanya, sesiapa yang beriktikad atau meyakini halal sesuatu perkara yang sudah diharam secara ijmak ulama serta hilang syubhah atau keraguan adalah terkeluar akidah Islamnya.

Namun Imam Ahmad Hanbal menerusi kitab Al-Kafi Fi Fiqhil menyatakan pelaku tidak pula jatuh murtad jika makan khinzir dalam keadaan berasa ketakutan atau dipaksa musuh Islam.

Langkah tersebut perlu demi penjagaan nyawa dan keselamatan walaupun dalam situasi sedar dengan syarat selagi tidak beriktikad bahawa daging babi sebagai halal untuk dijamah.

Pandangan itu turut disokong Syeikh Nuh al-Qudah dalam kitab Jauharah al-Tauhid dengan menyatakan dosa besar tidak boleh dihukum sebagai kafir kecuali perbuatan kufur atau syirik.

Justeru, PMWP berpendapat bahawa perbuatan memakan khinzir memang adalah haram, tetapi tidak sampai jatuh murtad kecuali individu itu sengaja menghalalkan haiwan tersebut.

Masyarakat bukan Islam di Malaysia sepanjang tahun ini dianggarkan memakan 233,921 tan daging babi berdasarkan rekod anggaran oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar baru-baru ini.

 Agensi berkenaan turut mengunjurkan sejumlah 1,857,839 ekor babi diternak di seluruh negara pada tahun ini, kecuali di Kelantan, Terengganu serta tiga buah Wilayah Persekutuan. -UTUSAN ONLINE

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN