Tiada ladang ternakan babi di lokaliti wabak JE - Othman

Tiada ladang ternakan babi di lokaliti wabak JE

OTHMAN WARIJO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Siasatan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah mengesahkan tidak terdapat ladang penternakan babi di kawasan lokaliti wabak Japanese Encephalitis (JE) di daerah Kota Setar yang mula diisytiharkan pada 25 November lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Othman Warijo berkata, tinjauan menggunakan dron di sepanjang sungai berdekatan lokaliti wabak juga tidak menemukan sebarang lokasi berisiko kecuali kehadiran burung hijrah di kawasan bendang.

Selain itu, katanya, kalangan penduduk setempat juga tidak pernah membuat aduan mengenai kehadiran babi liar atau babi hutan di kawasan berdekatan rumah dua individu yang meninggal dunia akibat penyakit tersebut, bulan lalu.

“Pada masa ini, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Jabatan Veterinar, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Setar telah mengenal pasti lokasi untuk penangkapan burung hijrah bagi ujian virus JE.

“Hasil kajian entomologi di lokaliti wabak telah menemukan 11 bekas pembiakan nyamuk Culex Tritaenioryhncus dan Culex Sitiens yang berpotensi menyebarkan JE. 

“Dalam usaha menghapuskan pembiakan nyamuk tersebut, semburan ruang termal telah dilakukan di 412 premis dan semburan ruang Ultra Low Volume (ULV) dijalankan di 912 premis,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, Othman memaklumkan terdapat dua kes JE dikesan pada 18 dan 25 November lalu di daerah Kota Setar dengan kedua-dua individu tersebut telah meninggal dunia akibat penyakit tersebut.

Sebelum itu, seorang kanak-kanak berusia empat tahun turut meninggal dunia pada 13 Oktober lalu akibat penyakit sama di Pendang.

Mengulas lanjut, Othman berkata, pihaknya turut melakukan proses ‘larvasiding’ setelah menemukan 14 bekas pembiakan nyamuk menerusi pemeriksaan dijalankan di 291 premis yang terletak dalam radius 400 meter dari rumah pesakit JE tersebut.

“Pengesanan kes secara aktif (ACD) juga telah dijalankan di sekitar kawasan itu. Seramai 674 daripada 2,926 penduduk di kedua-dua kawasan itu telah disaring namun didapati tiada penduduk yang mempunyai gejala penyakit JE,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN