‘Tiada beza antara UMNO dan Pas’ - Utusan Malaysia

‘Tiada beza antara UMNO dan Pas’

HANIPA Maidin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiada bezanya antara UMNO dan Pas apabila kedua-dua bersekongkol mengkhianati mandat rakyat selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) meskipun masing-masing cuba menjadi jaguh Muafakat Nasional (MN) dan sanggup melabelkan antara satu sama lain menerusi perumpamaan main banyak ‘kolam’.

Bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mohamed Hanipa Maidin berkata, UMNO dan Pas malah termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sendiri mempunyai persamaan iaitu tidak menghormati sistem demokrasi apabila mereka bekerjasama menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) melalui cara pintu belakang pada tahun lalu.

“Jujurnya saya tidak boleh bercakap bagi pihak Pas (berhubung main banyak kolam). Tetapi saya sebenarnya tidak nampak ada perbezaan besar pun antara Pas dan UMNO mahupun Bersatu. Ketiga-tiganya bersekongkol dalam mengkhinanati mandat rakyat kepada PH.

“UMNO pun sama, malah Pas pun sama. Untuk berlaku adil, tidak ada beza sebenarnya antara mereka dalam hal ini. Hakikatnya itulah wajah sebenar mereka tidak menghormati roh demokrasi, namun malangnya mereka kini cuba menjadi pe­negak suara rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Kelmarin, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Pas menolak gagasan MN kerana UMNO tidak mengikut piagam dipersetujui ketika kerjasama dua parti itu dibentuk.

Menurut beliau, berdasarkan piagam MN, dua parti itu sedia menerima parti-parti lain termasuk Bersatu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sebelum ini, Ketua Dewan Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari memberi perumpaaan Pas boleh bermain 10 kolam asalkan demi perpaduan ummah dan memastikan PH tidak kembali berkuasa.

Ini sekali gus menyangkal dakwaan mereka menyokong parti tertentu mempertahankan kedudukan dalam kerajaan.

Dalam pada itu, Mohamed Hanipa berkata, beliau berasa hairan mengapa Pas boleh bersama UMNO sedangkan parti itu pernah terlibat dalam menjatuhkan Kerajaan Pas-Pakatan Rakyat di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin selepas Pilihan Raya Umum 2008.

“Pas satu waktu dahulu pernah bersama DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat untuk melawan UMNO dan Barisan Nasional tetapi ketika PH diberikan mandat mentadbir kerajaan, kedua-dua terlibat dalam Langkah Sheraton untuk menjatuhkan kerajaan ketika itu,” katanya.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof pula memberitahu, terserah kepada Pas dalam menentukan rakan kerjasama sama ada sekadar untuk me­numpang kepentingan diri atau sebaliknya.

Jelasnya, segala-galanya bergantung kepada hasrat Pas untuk mencapai hasrat matlamat menerusi tindakan main banyak ‘kolam’.

“Setiap parti ada strateginya untuk pilih menjadi rakan setia ataukah sekadar menum­pang kepentingan diri. Itu bezanya dan ia terpulang kepada sejauh mana cita-cita yang hendak dibawa oleh parti masing-ma­sing,” kata bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya