KUCHING: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak menafikan berlaku adegan mengejar Voon Lee Shan berhubung dakwaan Presiden Parti Bumi Kenyalang (PBK) itu ditangkap pihaknya pagi tadi.
SPRM dalam satu kenyataan menyangkal tuduhan menangkap calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Lintang itu, sebaliknya menjelaskan, badan itu sudah beberapa kali menghubungi Lee Shan namun gagal.
“Sehinggalah hari ini, pihak SPRM telah mengesan dan berjumpa beliau di sekitar Kenyalang Park.
“SPRM Sarawak menjelaskan kepada beliau tentang keperluan untuk hadir ke Pejabat SPRM bagi membantu siasatan. Beliau juga turut diserahkan notis hadir pemeriksaan seksyen 30(1)(a) Akta SPRM 2009 sebagaimana kehendak undang undang.
“SPRM hanya menyampaikan notis pemakluman untuk beliau memberikan kerjasama kepada pihak kami dalam menjalankan siasatan dan beliau memberi kerjasama dan telah menghadirkan diri ke pejabat SPRM,” menurut kenyataan itu hari ini.
Pagi tadi, Utusan Malaysia yang dihubungi Lee Shan mendakwa ditahan oleh pegawai SPRM ketika beliau sedang memandu keretanya melintasi Kenyalang Park dan diarah berhenti oleh sebuah kereta.
Sumber SPRM memberitahu akhbar ini, dakwaan beliau ditahan pihak berkuasa tanpa sebab adalah tidak tepat sebaliknya beliau diminta tampil memberi penjelasan berhubung penawaran pemberian wang tunai RM3,000 kepada pengundi di negeri ini jika mereka menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, Sabtu ini.
Lee Shan pula memberitahu Utusan Malaysia, SPRM menyiasat beliau di bawah Seksyen 16 (b) A Akta SPRM 2009 iaitu kesalahan menerima suapan dengan memberikan, menjanjikan atau menawarkan kepada mana-mana orang sama ada bagi faedah orang itu atau faedah orang lain.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, adalah menjadi tanggungjawab untuk ‘kerajaannya’ jika menang pilihan raya membantu rakyat dengan wang melalui pemberian subsidi.
Beliau yang mengetuai PBK dalam pilihan raya negeri Sarawak kali ke-12 kali ini menampilkan 73 calon daripada parti itu, dengan membawa kempen ‘Bebaskan Sarawak dari Malaysia’ atas dakwaan Perjanjian Malaysia 1963 tidak adil kepada rakyat negeri ini dan menawarkan dana bantuan kesusahan khas RM3,000 untuk pengundinya namun terhad kepada mereka yang benar-benar mengundi pada pilihan raya. – UTUSAN ONLINE