TDMP, UCTATI meterai MoU tingkatkan operasi syarikat

TDMP, UCTATI meterai MoU

HAMDAN Ibrahim (dua dari kiri) dan Anuar Ahmad (dua dari kanan) menandatangani memorandum persefahaman antara TDMP dan UCTATI di Kuala Terengganu, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: TDM Plantation Sdn. Bhd. (TDMP) semalam memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Kolej TATI (UCTATI) bagi meningkatkan produktiviti dan operasi syarikat melalui teknologi mekanisasi. 

Ketua Pegawai Eksekutif TDMP, Hamdan Ibrahim berkata, jalinan kerjasama strategik itu dalam masa sama membuka peluang syarikat untuk mendapatkan pandangan dalam bidang inovasi teknologi, mekanisasi dan automasi daripada pemain industri berpengalaman serta berkebolehan tinggi. 

Katanya, inisiatif itu sekali gus membolehkan syarikat menambah baik operasi melalui kemajuan teknologi selaras dengan Revolusi Industri 4.0 dan internet benda (IoT). 

“Hasrat kita untuk memacu produktiviti dan pertumbuhan ekosistem perladangan, di samping memastikan penyediaan sistem sokongan yang baik.

“Ia termasuk infrastruktur, kemudahan, latihan dan ilmu pengetahuan dalam mekanisasi operasi perladangan, menyelesaikan masalah kekurangan tenaga yang semakin meruncing di ladang di samping memastikan syarikat kekal berdaya saing terutama sepanjang tempoh pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Terdahulu, beliau bersama Penasihat Perladangan TDM, Jalaini Che Kar menandatangani MoU itu manakala UCTATI diwakili Rektornya, Prof. Dr. Anuar Ahmad dan Timbalan Rektor (Akademik & Pengantarabangsaan), Prof. Madya Ts. Dr. Rosliza Ramli.

Sementara itu, Anuar berkata, rangkaian pakar berkemahiran tinggi yang cekap dengan keupayaan dalam pelbagai bidang teknikal, pihaknya yakin dapat menyokong TDMP ke arah merealisasikan potensi syarikat sepenuhnya. 

“Kami mengharapkan hasil positif daripada gabungan keupayaan TDMP dengan kepakaran teknikal UCTATI. Kita juga bersedia membantu pihak mereka dalam menangani cabaran masa kini dan jangka panjang yang boleh mengganggu momentum syarikat, termasuk dalam usaha mengurangkan beban kerja yang intensif sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manusia melalui mekanisasi dan automasi teknologi,” katanya.

TDMP sebelum ini memeterai perjanjian dengan Edaran Badang Sdn. Bhd. bagi mendapatkan jentera Mechanical Buffalos untuk kegunaan ladang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN