Tambak laut: Negeri lain boleh, kenapa Pulau Pinang tidak boleh? - Utusan Malaysia

Tambak laut: Negeri lain boleh, kenapa Pulau Pinang tidak boleh?

ZAIRIL KHIR JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang melahirkan rasa ‘hairan’ mengapa projek tambak laut yang dirancang di negeri ini tidak mendapat kebenaran sedangkan projek sama di negeri lain dengan saiz tambakan lebih besar boleh diluluskan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, projek tambak laut di perairan selatan (PSR) misalnya bukanlah projek begitu besar jika dibandingkan dengan projek tambakan berskala mega seperti di Johor dan Melaka.

Malah beliau turut menyifatkan alasan yang diberikan Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) ketika mengetepikan kelulusan EIA PSR sebelum ini langsung tidak boleh diterima.

“Hakikatnya projek PSR itu telah pun diluluskan dan telah memenuhi kehendak-kehendak Akta Kualiti Alam Sekeliling.

“Jadi keputusan Lembaga Rayuan JAS itu boleh dianggap satu ketidakadilan terhadap Pulau Pinang,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Zairil (DAP-Tanjung Bungah) menjawab soalan tambahan Jason H’ng Mooi Lye (DAP-Jawi) berhubung sama ada kerajaan negeri meminta penjelasan lanjut daripada JAS mengapa EIA PSR dibatalkan sedangkan projek sama di negeri lain dengan saiz lebih besar boleh diluluskan.

Dalam pada itu Zairil menambah, kerajaan negeri tidak mempertikaikan keputusan yang dibuat Lembaga Rayuan JAS malah yakin dengan proses perundangan negara.

Namun kata beliau, apa yang dipersoalkan adalah tindakan berpilih atau dwistandard dan ‘pemangsaan’ yang sering terjadi kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Sementara itu, kepada soalan lisan Goh Choon Aik (PKR-Bukit Tambun) yang meminta penjelasan berhubung keputusan Lembaga Rayuan JAS mengetepikan EIA PSR, Zairil berkata, kerajaan negeri yakin semakan kehakiman kelak akan memihak negeri ini sekali gus projek tersebut dapat diteruskan seperti dirancang.

Ini kerana kata beliau, keputusan JAS ketika mengetepikan EIA itu bukan atas dasar kesan kepada kualiti atau persekitaran ekoran projek tersebut sebaliknya lebih kepada isu teknikal.

Jelas beliau, JAS berpandangan kelulusan EIA PSR terdahulu diberikan ketika projek itu belum lagi digazetkan di dalam Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030.

Sedangkan katanya, projek PSR sudah pun diluluskan oleh Jawatankuasa Perancangan Negeri iaitu pihak berkuasa perancangan yang paling tinggi di Pulau Pinang.

“Malah, jika kita lihat peruntukan di dalam akta juga, apabila sudah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa perancangan negeri dan apabila dibentangkan kepada Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN), maka ia sebenarnya sudah memadai.

“Sebab itu kerajaan negeri tidak bersetuju dengan keputusan yang dibuat Lembaga Rayuan JAS dan kita yakin apabila semakan kehakiman dibuat di Mahkamah Tinggi kelak, kita akan mendapat keputusan positif,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya