ARAU: UMNO tidak perlu lagi berharap kepada Pas mempertahankan Muafakat Nasional (MN) sebaliknya fokus memperkuatkan parti seterusnya bergerak solo dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Rusdi Omar berkata, usaha UMNO menyelamatkan MN dilihat sebagai sia-sia memandangkan Pas lebih ke arah bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di dalam Perikatan Nasional (PN).
Katanya, UMNO masih mempunyai kelebihan di dalam PRU-15, namun mereka perlu menggunakan kaedah sama seperti Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka iaitu melakukan pembaharuan mengetengahkan muka baharu.
Jelasnya, muka-muka lama seperti ketua-ketua Bahagian tidak semestinya perlu diketengahkan sebagai calon sebaliknya calon-calon muda yang berpotensi perlulah diberi peluang bagi menarik sokongan rakyat.
“Melihat kepada situasi semasa ini, UMNO tidak perlu berharap kepada Pas yang nampaknya menolak parti itu untuk bersama Bersatu di dalam PN.
“Saya lihat, agak susah MN bertahan ketika PRU-15 dilihat semakin hampir. UMNO dan Barisan Nasional (BN) dilihat masih mempunyai momentum meskipun bergerak solo.
“Hal demikian kerana Pakatan Harapan (PH) dilihat mula bergolak sekali gus bakal memberi kelebihan kepada BN dengan syarat PRU-15 perlu diadakan dalam tempoh terdekat,” katanya.
Masa depan MN dilihat semakin kabur apabila Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini memaklumkan bahawa Pas menolak gagasan tersebut kerana UMNO tidak mengikut piagam dipersetujui ketika kerjasama dua parti itu dibentuk.
Berdasarkan piagam MN, kata Abdul Hadi, dua parti itu sedia menerima parti-parti lain termasuk Bersatu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), namun apabila sampai peringkat pelaksanaan, kepemimpinan UMNO hanya mahu parti itu dan Pas dalam MN.
Rusdi berkata, UMNO dilihat sukar menerima Bersatu sebagaimana situasi Pas dengan Parti Amanah Negara (Amanah).
“Jika Pas hendak UMNO dan Bersatu bersama, ajak sekali Amanah. Adakah Pas sedia menerima (Amanah)?” Soalnya.