PASIR MAS: Lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar termasuk seorang wanita sanggup berhimpit-himpit dalam sebuah kereta semata-mata untuk masuk ke negara ini secara haram.
Tindakan itu tidak berbaloi apabila kesemua mereka yang berusia antara 18 hingga 40 tahun yang menaiki kereta Proton Persona ditahan polis di Jambatan Lemal, di sini kira-kira pukul 1.30 pagi ini.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, dua tukang angkut atau transporter yang membawa PATI berkenaan bagaimanapun meloloskan diri.
Kata beliau, sebelum kejadian, polis yang sedang membuat rondaan mendapati kereta berkenaan dipandu dipandu laju dan kelihatan mencurigakan di kawasan Padang Licin menghala ke Pasir Mas.
“Anggota bertugas bertindak mengejar kereta tersebut sambil meminta bantuan unit peronda. Hasilnya, kereta Persona itu ditahan di atas Jambatan Lemal.
“Pemeriksaan ke atas kereta tersebut menjumpai tujuh lelaki dan seorang wanita berada tempat duduk belakang bahagian penumpang namun dua lagi individu termasuk pemandu melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Nasaruddin memberitahu, kelapan-lapan warga Myanmar berkenaan didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63. – UTUSAN ONLINE