Suami isteri maut, van elak babi melintas - Utusan Malaysia

Suami isteri maut, van elak babi melintas

VAN dinaiki mangsa terbabas dalam longkang selepas mengelak babi melintas di Kilometer 63, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Gua Musang, Kelantan hari ini. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Pasangan suami isteri maut manakala lima lagi cedera selepas van dinaiki mereka terbabas ke dalam longkang ketika pemandunya cuba mengelak babi yang melintas di Kilometer 63, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini hari ini.

Dalam nahas kira-kira pukul 9.30 pagi itu, mangsa, Abu Hasan Osman, 65, dan isterinya, Salbiah Ab. Latip, 58, berada di tempat duduk penumpang belakang dilaporkan maut akibat tercampak keluar dari kenderaan.

Sementara itu, pemandu van, Mohammad A. Rahman, 54, bersama penumpang hadapan, Fadilah Mirasahib, 53, hanya mengalami kecederaan.

Turut cedera, penumpang belakang, Noraimi Mat Rejab, 45; Fatimah Zakiah Abd. Rahman, 42; dan Amirul Azieq Mohammad, 13.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, semua mangsa berasal dari Tanjong Kling, Melaka dipercayai bercuti ke Kelantan dan dalam perjalanan dari arah Gua Musang ke Tanah Merah.

Katanya, semasa tiba di lokasi kejadian, seekor babi dipercayai tiba-tiba melintas dari arah kanan ke kiri jalan.

“Insiden itu menyebabkan pemandu van cuba mengelak daripada merempuh haiwan berkenaan sebelum terbabas ke dalam longkang di kiri jalan.

“Pasangan suami isteri itu dipercayai tercampak keluar daripada van dan disahkan maut di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Menurut Choon Foo, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang di sini untuk dibedah siasat manakala lima yang lain dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai dekat sini.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN