Suami isteri maut kemalangan, 2 anak selamat - Utusan Malaysia

Suami isteri maut kemalangan, 2 anak selamat

KEADAAN kereta terlibat kemalangan yang menyebabkan dua maut di KM 181 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan dekat Bagan Serai. - UTUSAN/MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Sepasang suami isteri maut manakala dua anak mereka terselamat setelah kereta dinaiki mereka terlibat kemalangan di Kilometer 181 Lebuhraya Utara -Selatan arah selatan dekat sini.

Kemalangan pada kira-kira pukul 3.30 petang semalam itu menyebabkan Mohammad Anas Awang, 32, dan isterinya, Siti Hafissah Zamri, 34, maut manakala anak mereka, Muhammad Afiq, 8, dan Siti Nur Alya Adriana, 6, tidak mengalami kecederanaan.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Mazuki Mat berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta jenis Mazda RX8 yang dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelah kiri lebuh raya.

Menurutnya, kereta mangsa kemudiannya melanggar sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang dipandu oleh seorang wanita berusia 26 tahun.

“Akibat perlanggaran itu, Mohammad Anas yang beralamat di Markas Tentera Darat, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur tercampak keluar dari keretanya ke atas jalan raya dan disahkan meninggal dunia.

“Isteri mangsa meninggal dunia di dalam kereta manakala dua orang anak mereka serta pemandu dan penumpang kereta Perodua Kancil tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Menurut Mazuki, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN