Suami isteri ditahan lakukan jenayah curi di premis dan pecah kenderaan di Genting Highlands - Utusan Malaysia

Suami isteri ditahan lakukan jenayah curi di premis dan pecah kenderaan di Genting Highlands

ZAIHAM Mohd. Kahar (dua dari kiri) bersama tiga pegawai menunjukkan hasil rampasan barang curi di premis dan kenderaan kawasan Genting Highlands di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong di Bentong, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Kes pecah masuk dan kecurian premis serta kenderaan di Genting Highlands dekat sini berjaya dipatahkan oleh Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong apabila menahan sepasang suami isteri pada lokasi dan tarikh berasingan minggu ini.

Suspek lelaki berusia 31 tahun dan tidak mempunyai pekerjaan ditahan di sebuah stesen minyak di Klang, Selangor pada 2 Disember lalu, pukul 12.35 tengah hari.

Suspek kedua seorang wanita berusia 33 tahun yang juga isteri kepada suspek pertama ditahan pada 4 Disember lalu, pukul 10.35 di pekarangan IPD Bentong.

Ketua Polis Bentong, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, pemeriksaan terhadap suspek lelaki dan kenderaan dipandunya, polis menemukan barangan curi yang berkaitan kejadian jenayah berkenaan telah dilaporkan di Balai Polis Genting Highlands.

“Hasil soal siasat, suspek lelaki telah membuat pengakuan terlibat dengan dua kejadian curi dalam premis serta tiga kejadian pecah kenderaan di kawasan Genting Highlands.

“Suspek juga mengaku melakukan aktiviti tersebut bersama isterinya dan pengakuan lelaki ini dibuktikan hasil pemeriksaan sebuah kamera litar tertutup (CCTV) apabila kejadian itu sahih turut disertai seorang wanita,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Bentong di sini hari ini.

Menurut Zaiham, selepas penahanan pasangan suspek lelaki itu, polis merampas wang tunai berjumlah RM400, pelbagai jenis aksesori audio kenderaan, lima buah telefon bimbit dan tiga buah beg berisi rangkaian kunci.

Katanya, polis juga turut merampas peralatan seperti pemotong wayar, testpen, pisau, gerudi, lampu suluh yang digunakan untuk memecah masuk ke premis dan kenderaan.

“Kita juga merampas sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza berwanra perak dipercayai disewa oleh suspek bermula dari 29 November sehingga 27 Januari tahun depan,” katanya.

Selanjutnya Zaiham menjelaskan, semakan polis mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan tiga kes ragut, masing-masing satu kes imigresen dan dadah juga didapati positif dadah jenis methamphetamine dan ganja menerusi hasil ujian air kencing.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan, polis juga merampas dadah jenis syabu seberat 1.88 gram dan ganja seberat 3.25 gram yang diisi dalam plastik lutsinar.

Katanya, suspek lelaki direman tujuh hari bermula 2 hingga 8 Disember manakala isterinya selama empat hari bermula 5 hingga 8 Disember untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Ada tiga tuduhan tambahan terhadap suspek lelaki, iaitu di bawah Seksyen 6 Akta Dadah berbahaya (ADB) dan Seksyen 12 (2) ADB 1952 dan Seksyen 15 (1)(A) ADB 1952 jika sabit kesalahan boleh didenda berasingan berasaskan setiap seksyen itu tidak melebihi RM100,000 atau penjara antara dua hingga lima tahun dan boleh dikenakan pengawasan tempoh antara dua hingga tiga tahun,” katanya.

Beliau berkata, dengan tertangkapnya pasangan suspek tersebut, IPD Bentong telah berjaya menyelesaikan sebanyak tujuh kes pecah kedai dan premis serta kenderaan di daerah ini.

“Saya berterima kasih dan menghargai sumbangan masyarakat di daerah ini membantu polis dengan memberikan kerjasama menyampaikan maklumat tepat mengenai kegiatan jenayah di daerah ini.

“Sekiranya ternampak aktiviti jenayah dan dadah, orang ramai boleh berhubung terus ke Bilik Gerakan IPD Bentong menerusi talian 09 2222222 atau mana-mana balai polis berdekatan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya