Sindiket edar dadah tumpas, 107kg ganja dirampas  - Utusan Malaysia

Sindiket edar dadah tumpas, 107kg ganja dirampas 

MOHD. RADZI AHMAD (tengah) menunjukkan dadah yang berjaya dirampas daripada beberapa suspek dalam serbuan di sekitar Pulau Pinang dan Kedah dalam sidang akhbar di Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini. - UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Polis menahan tiga sekeluarga yang dipercayai terbabit dalam sindiket pengedaran dadah melibatkan 107 kilogram (kg) ganja bernilai RM267,500.

Mereka antara empat individu yang ditahan di sekitar negeri ini dan Kedah dalam tiga serbuan berasingan pada semalam dan kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, tiga sekeluarga yang ditahan terdiri daripada adik-beradik lelaki dan wanita serta suami wanita berkenaan manakala seorang lagi individu tidak mempunyai sebarang kaitan persaudaraan.

“Tangkapan pertama dibuat pukul 8.40 malam membabitkan si adik dan rakannya di Kampung Lahar Yooi dan polis menemukan lima ketulan ganja seberat lima kilogram bernilai RM12,500.

“Susulan itu, kakaknya yang memiliki empat guni berisi 100 ketul ganja bernilai RM255,000 kemudiannya ditahan di sebuah rumah di Bukit Selambau, Sungai Petani pukul 9.50 malam hari yang sama.

“Tangkapan terakhir membabitkan suami wanita berkenaan di kawasan Sungai Ara, Bayan Lepas pukul 12.45 pagi semalam,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, keempat-empat suspek yang berusia antara 25 hingga 33 tahun dikesan mendalangi aktiviti pengedaran dadah itu untuk pasaran tempatan sejak Jun lalu.

Jelasnya, hasil siasatan mendapati dua suspek memiliki rekod lampau berkaitan dadah manakala seorang suspek positif methapethamine.

“Suspek lelaki dan rakannya yang juga pekerja kilang direman selama tujuh hari bermula semalam manakala pasangan suami isteri direman sehingga 13 Disember ini.

“Nilai keseluruhan dadah termasuk sitaan membabitkan sebuah kereta, dua motosikal dan wang tunai dianggarkan berjumlah RM340,500,” katanya.

Dalam kes berasingan tambahnya, seorang lelaki berusia 37 tahun ditahan di Penaga dekat sini ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran ganja pukul 3 pagi semalam.

Beliau berkata, polis turut merampas 10 ketulan ganja yang dianggarkan bernilai RM25,693.

“Suspek yang tidak bekerja direman sehingga 16 Disember ini dan dikesan memiliki tiga rekod kesalahan lampu selain positif methapethamine.

“Kesemua kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN