Serba Dinamik, 3 pegawai didakwa beri penyataan palsu - Utusan Malaysia

Serba Dinamik, 3 pegawai didakwa beri penyataan palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat penyedia perkhidmatan kejuruteraan minyak dan gas serta tiga pegawai kanannya mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tuduhan memberikan penyataan palsu kepada Bursa Malaysia, hujung Februari lalu.

Di hadapan Hakim Hamidah Mohamed Deril, Serba Dinamik Holdings yang diwakili Pengarah Bukan Eksekutif Bebas syarikat itu, Abu Bakar Uzair, 43, selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa dengan sengaja memberikan pernyataan palsu berhubung hal ehwal syarikat itu.

Penyataan palsu itu juga terkandung dalam “Serba Dinamik Holdings Berhad’s Quarterly Report on the Consolidated Results for the Quarter and Year Ended 31 December 2020”.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 26 Februari lalu di Bursa Malaysia Securities Berhad, Bukit Kewangan di sini.

Sementara itu, di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman, tiga pegawai kanannya iaitu Pengarah Eksekutif Bukan Bebas, Datuk Syed Nazim Syed Faisal, 41; Pengawal Kewangan Kumpulan, Azhan Azmi,39, dan Naib Presiden Akaun dan Kewangan, Muhammad Hafiz Othman, 37, turut didakwa atas pertuduhan yang sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut 369(a)(B) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak melebihi RM3 juta, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dan Pegawai Pendakwa daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM) Hashley Tajudin, Zul’ida Zulkifli Mohamad Izzudin dan Newton Tham Vun Ket manakala kesemua tertuduh dan syarikat itu diwakili peguam bela, L. K. Mak.

Hamidah menetapkan jaminan sebanyak RM300,000 bagi setiap tertuduh dengan dua penjamin.

Mereka juga diperintah menyerahkan pasport kepada mahkamah untuk disimpan sehingga kes selesai dan melapor diri kepada Suruhanjaya Sekuriti sebulan sekali. 

Kesemua kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 27 Januari 2022. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN