Sarawak sudah diabai sekian lama - Utusan Malaysia

Sarawak sudah diabai sekian lama

RAYMOND THONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Parti Bumi Kenyalang (PBK) mendakwa Sarawak sudah diabaikan dengan teruk dari segi pembangunan terutama di kawasan pedalaman.

Pengarah Pilihan Raya dan Hal Ehwal Politik PBK, Raymond Thong berkata, ia disebabkan peruntukan tahunan diberikan yang tidak seberapa menyebabkan penduduk negeri ini terpaksa berjuang kerana masalah kemiskinan.

“Sampai bila kita terus bertolak ansur tentang hal ini? Patutnya kita membenarkan layan seperti ini lebih lama? Rakyat Sarawak patut mula berfikir secara serius tentang masa depan kita di Malaysia.

“Oleh sebab itu, parti ini mahu memimpin orang Sarawak merdeka daripada Malaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Thong berdepan saingan empat penjuru di Dewan Undangan Negeri (DUN) Padungan dengan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi), Lina Soo dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Wee Hong Seng.

PBK dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 kali ini membawa kempen ‘Bebaskan Sarawak dari Malaysia’ atas dakwaan Perjanjian Malaysia 1963 tidak adil kepada rakyat negeri ini dan menawarkan dana bantuan kesusahan khas RM3,000 untuk pengundinya namun terhad kepada mereka yang benar-benar mengundi pada pilihan raya.

PBK dipimpin Presiden, Voon Lee Shan yang mendakwa ditahan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM) kelmarin. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN