Rayuan Najib: Bukti dikemukan masih belum terlambat - Utusan Malaysia

Rayuan Najib: Bukti dikemukan masih belum terlambat

MUHAMMAD SHAFEE ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menyifatkan bukti dan maklumat penting yang dikemukakan kepada pihak mahkamah berhubung penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah masih belum terlambat.

Peguam bela utama kes itu berkata, ini kerana pihak mahkamah masih lagi belum membuat keputusan mengenai kes berkenaan, maka permohonan yang dibuat itu adalah untuk mengemukakan bukti dan bahan lanjut yang ditemukan baru-baru ini.

Beliau berkata, ini kerana pelbagai pihak berkuasa dan pendakwaan sebelum ini mendakwa mereka tidak mempunyai bukti dan keterangan itu disembunyikan daripada pihak pembelaan.

“Pada 19 November, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata telah mendapatkan semula AS$15.4 juta dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) daripada Singapura, diterima daripada Cutting Edge Industries Ltd (CEIL), yang dimiliki oleh Datuk Dr. Tawfiq Ayman yang juga suami kepada bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

“Pada Oktober dan Disember 2020, kira-kira setahun lalu, terdapat artikel yang diterbitkan oleh portal berita dalam talian bahawa suami Tan Sri Zeti menerima berjuta-juta daripada Jho Low (Low Taek Jho). Kami mahukan lebih banyak fakta dan bukti tetapi kami disekat,” katanya dalam sidang media di Bukit Tunku, hari ini.

Terdahulu, media sebelum ini melaporkan, rayuan Najib berhubung hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta selepas didapati bersalah atas penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. akan diputuskan pada 8 Disember ini.

Bagaimanapun, beberapa hari sebelum Mahkamah Rayuan Putrajaya membuat keputusan atas rayuan itu, bekas Perdana Menteri itu memohon agar mahkamah itu menerima masuk bukti baharu.

Bukti baharu itu, dakwa Najib, antaranya membabitkan penglibatan bekas Gabenor Bank Negara itu yang dikatakan bersekongkol dengan Jho Low bagi memudahkan ahli perniagaan dalam buruan itu untuk menyeleweng dana 11MDB) dan anak syarikatnya SRC International.

Notis usul dan afidavit sokongan untuk memasukan bukti atau keterangan baharu itu difailkan di Mahkamah Rayuan melalui firma guaman, Tetuan Shafee & Co. pagi tadi.

Najib dalam afidavit sokongannya menyatakan, beliau memfailkan notis usul itu tanpa lengah selepas mendapati keterangan-keterangan berkaitan penglibatan Zeti dan ahli keluarganya tidak dimaklumkan atau didedahkan kepada pasukan pembelaannya sebelum atau sepanjang perbicaraannya.

Jelasnya, beliau hanya mengetahui mengenai perkara tersebut selepas SPRM mengeluarkan kenyataan bahawa Singapura telah memulangkan AS$15.4 juta yang berkaitan akaun Cutting-Edge Industries Ltd. yang antaranya dipunyai suami Zeti, Tawfiq Ayman.

Selain itu, Najib turut mendakwa, keluarga Zeti telah menerima RM65 juta daripada Jho Low hasil penyelewengan dana 1MDB.

Najib turut memohon mahkamah mendapatkan keterangan lisan viva (viva voce) daripada bekas Ketua Pengarah SPRM, Datuk Seri Azam Baki, pegawai penyiasat SPRM, Rosli Hussein dan keterangan saksi lain atau apa-apa keterangan tambahan lanjut berkaitan dengan dakwaan penglibatan Zeti dan keluarganya.

Dalam pada itu, Muhammad Shafee ketika ditanya bagaimana wang daripada penyimpangan dana Islamic Medium Term Notes (IMTN) pada 2009 akan relevan dengan kes Najib memandangkan garis masa yang terlibat dalam perbicaraan SRC bermula dari 2011 dan seterusnya berkata, ia adalah relevan kerana Jho Low memperoleh keuntungan yang besar sehingga menjejaskan 1MDB yang seterusnya memberi manfaat kepada keluarga Zeti.

Beliau berkata, perkara itu penting kerana ia menunjukkan bahawa Jho Low telah mengenali Zeti dan keluarganya lebih lama daripada ahli Parlimen Pekan itu.

“Gabenor bank pusat sepatutnya memaklumkan Najib kerana Perdana Menteri ketika itu sudah membuat pendedahan yang diperlukan untuk derma Arab Saudi yang dikatakan berjumlah RM42 juta, tetapi no red flags were raised,” jelasnya.

Sementara itu, peguam utama itu mendakwa Najib turut dinafikan haknya untuk perbicaran adil berhubung perbicaraan kes tersebut.

Muhammad Shafee mendakwa, pihak pembelaan tidak diberikan setiap dokumen dan maklumat yang mereka berhak di bawah Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.

Tambahnya, mereka akan meminta mahkamah memanggil Zeti sebagai saksi sekiranya mereka mengetahui mengenai dana yang disalurkan kepada suaminya daripada Jho Low, dalang di sebalik skandal 1MDB.

“Apakah jenis percubaan yang dilakukan oleh klien saya? Dia pergi ke perlawanan tinju dengan sebelah tangan diikat ke belakang, dengan cara bercakap. Dia tidak diberi haknya untuk perbicaraan yang adil,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya