GEORGETOWN: Kerajaan negeri dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) terus berusaha melaksanakan Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) kerana Pulau Pinang dan Perak memerlukan lebih banyak bekalan air untuk memenuhi keperluan rakyat pada masa depan.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Ir. Jaseni Maidinsa berkata, rawatan air konvensional bagi air mentah dari Sungai Perak menjadi penyelesaian bekalan air yang paling kos efektif untuk Perak dan Pulau Pinang.
Ini kerana, jelas beliau, ia jauh lebih murah berbanding penyahgaraman dan mempunyai kesan paling sedikit terhadap tarif air pada masa depan untuk kedua-dua negeri.
“Setelah menunggu selama 10 tahun, Pulau Pinang masih menantikan pelaksanaan SPRWTS dan terus berusaha agar dapat dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan kerajaan Negeri Perak belum membuat keputusan mengenai penjualan air mentah kepada Pulau Pinang seperti yang dicadangkan di bawah SPRWTS.
SPRWTS membabitkan cadangan projek pengalihan air dari Sungai Perak ke Sungai Kerian di sini dengan pelaksanaannya akan dibuat menerusi kaedah Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI). – UTUSAN ONLINE