KUCHING: Sekurang-kurangnya empat ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) disahkan bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ini.
Semalam, Naib Presiden Bersatu Sarawak, Datuk Ali Biju menyerahkan kertas pencalonannya untuk mempertahan kerusi Krian yang dimenanginya pada 2011 dan 2016.
Terkini, tiga lagi ahli Bersatu bertanding Bebas iaitu calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Belaga, Siki Balarik; calon Bawang Assan, Ricky Enteri dan calon Muara Tuang, Ismawi Muhammad.
Siki adalah Ketua Bersatu Hulu Rajang, Ismawi adalah Ketua Bersatu Kota Samarahan manakala Ricky seorang aktivis Bersatu di Sibu.
Tindakan keempat-empat individu itu jelas bertentangan dengan pendirian Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini yang mengumumkan partinya tidak akan bertanding pada PRN kali ini dan memberi sokongan penuh kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan semalam berkata, partinya akan mengambil tindakan tatatertib terhadap semua ahlinya bertanding dalam PRN kali ini.
“Perlembagaan Bersatu menyatakan mana-mana ahli yang bertanding tanpa kebenaran parti akan dikenakan tindakan tatatertib termasuk melucutkan keahlian serta-merta.
“Peraturan yang sama terpakai di Sarawak dan parti akan membuat pengumuman mengenai perkara ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE