Premis arak tiruan diserbu, PPM rampas minuman keras bernilai RM49,049 - Utusan Malaysia

Premis arak tiruan diserbu, PPM rampas minuman keras bernilai RM49,049

TIGA suspek yang ditahan di premis memproses arak tiruan dalam Op Kontraban yang dijalankan PPM Wilayah Dua di Kampung Teratai Bukit Serampang, Ledang, Tangkak di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGKAK: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua berjaya merampas minuman keras bernilai RM 49,049 dalam satu serbuan di Kampung Teratai Bukit Serampang, Ledang, di sini pada awal pagi semalam.

Timbalan Komander PPM Wilayah Dua, Superintenden Noor Azman Jamal berkata, serbuan menerusi Op Kontraban itu dilakukan sepasukan polis kira-kira pukul 2 pagi hasil daripada maklumat awam. 

“Pasukan serbuan telah menahan tiga orang lelaki dewasa tempatan berumur 18 hingga 32 tahun dan merampas sejumlah 468.92 liter minuman yang disyaki tidak mempunyai cukai kastam bernilai RM 49,049.

“Kita turut merampas peralatan untuk memproses arak dan sebuah kenderaan jenis Toyota Avanza yang dipercayai digunakan dalam sindiket pengedaran arak seludup tersebut.

“Anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM 76,049.03,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tangkapan dan rampasan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak untuk tindakan lanjut. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967, Akta Eksais 1976 dan Akta Memperbaharui undang-undang (penghapusan samsu gelap).

Sementara itu, orang ramai diminta untuk terus menyalurkan maklumat kegiatan jenayah termasuk penyeludupan rokok, dadah, pendatang asing tanpa izin dan lain-lain melalui talian telefon 07-2372222.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN