Polis jamin keselamatan Sabah terkawal - Utusan Malaysia

Polis jamin keselamatan Sabah terkawal

ACRYL SANI ABDULLLAH SANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tahap keselamatan di Sabah adalah terkawal walaupun terdapat laporan media antarabangsa yang mendakwa komplot perancangan serangan ke atas negeri itu oleh Tentera Diraja Sulu (RSA).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dalam satu kenyataan memberitahu, semua elemen Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa berada dalam keadaan siap-siaga pada setiap masa untuk menangani sebarang bentuk ancaman.

Kata beliau, pihaknya memandang serius perkara itu dan akan mengambil tindakan segera bagi meningkatkan kesiapsiagaan ke tahap tertinggi di Sabah untuk menghadapi sebarang kemungkinan ancaman pencerobohan.

“Justeru, PDRM akan mempergiatkan usaha bagi mengesan dan mengenal pasti anasir-anasir di Sabah yang berkemungkinan terbabit dalam komplot berkenaan.

“Komitmen dalam perkara ini akan diberikan demi mengelak sebarang insiden pencerobohan berulang di Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, kata Acryl Sani, hubungan baik di antara PDRM dengan pihak berkuasa Filipina juga akan digunakan dalam aspek perkongsian maklumat risikan mengenai sebarang aktiviti yang boleh mengancam hubungan akrab serta keselamatan kedua-dua negara.

“Setakat ini tiada pengesahan diterima mengenai pelan yang dimaksudkan dan ia dipercayai adalah maklumat yang telah dimanipulasi oleh pihak-pihak yang mencemburui tahap keselamatan serta hubungan rapat antara negeri Sabah dengan wilayah selatan Filipina.

“Sebarang usaha untuk menggugat keselamatan dan kedaulatan negara oleh mana-mana pihak akan diambil tindakan tegas,” jelasnya.

Terdahulu media antarabangsa South China Morning Post melaporkan wujud komplot oleh RSA untuk menyerang Sabah.

Laporan itu menyatakan terdapat satu pertemuan rahsia dalam kalangan 19 Datuk Bandar di Filipina bagi membincangkan pengambilan 600 tentera bersenjata untuk melakukan serangan yang dijangka pada sekitar Februari 2022, sebagai memperingati peristiwa Lahad Datu 2013.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN