KOTA KINABALU: Sokongan rakyat Sabah dan Sarawak terhadap kerajaan dijangka akan bertambah baik susulan kelulusan pindaan Perlembagaan Persekutuan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Romzi Ationg berkata, pindaan yang seiring dengan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sudah semestinya akan memberi impak positif kepada kerajaan terutama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Walau bagaimanapun, pindaan itu harus disusuli dengan tindakan seperti pelaksanaan hal-hal berkaitan pembangunan Sabah dan lain-lain.
“Kegagalan berbuat sedemikian akan menyebabkan rakyat Sabah dan Sarawak melihat pindaan itu hanya sekadar dokumentasi sekiranya pelaksanaan MA63 secara lebih agresif tidak dilakukan.
“Justeru, pelaksanaan dan usaha menunaikan segala tuntutan yang termaktub dalam perjanjian itu perlu dilakukan segera, tanpa sebarang alasan,” katanya.
Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Khidmat Komuniti) UMS berkata, di peringkat kerajaan negeri pula, kerajaan perlu berusaha memperlihatkan kesungguhan bagi memastikan tuntutan berkaitan hak-hak Sabah ini dilaksanakan sepenuhnya.
Semalam, Rang Undang-Undang pindaan Perlembagaan Persekutuan 2021 berkaitan MA63 bertujuan mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia diluluskan Dewan Rakyat setelah memperoleh sokongan majoriti dua pertiga ahli Parlimen.
RUU yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar itu diluluskan setelah mendapat 199 undian ahli Parlimen semasa bacaan kali ketiga.- UTUSAN ONLINE